
KETERUJAAN seorang wanita berswafoto dengan sebuah kereta api lama yang bergerak melintasi landasan di sebuah daerah terletak di Barat Laut Mexico City, Mexico bertukar tragedi selepas dia maut terkena bahagian enjin kenderaan pengangkutan terbabit pada Isnin.
Video kejadian ngeri yang berlaku betul-betul di hadapan sekumpulan pengunjung yang hadir di lokasi untuk melihat kehadiran kereta api bersejarah itu turut tular di media sosial.
Berdasarkan klip terbabit, wanita itu yang memakai baju berwarna jingga dilihat berdiri begitu dekat dengan landasan sambil memegang telefon bimbitnya untuk berswafoto.
BACA LAGI: [VIDEO] Pertama kali berlaku, kuasa Speaker Dewan Rakyat penentu nasib kerusi 6 MP BERSATU
BACA LAGI: Bukan deposit tetap mana-mana parti, PRK Sungai Bakap mungkin saksikan persaingan terbuka 4 penjuru
Pada masa sama, seorang kanak-kanak dipercayai anak perempuannya didapati turut berada di sebelah sisi kanannya untuk menyaksikan tren lama tersebut.
Melihat tren terbabit menghampiri dia dipaparkan mula melutut sambil membelakangkan landasan untuk mendapatkan swafoto ketika kereta api berkenaan melintasi landasan berkenaan.
Tindakan itu bagaimanapun membawa padah apabila terdapat bahagian pada tren yang sedang bergerak tersebut dipercayai mengenai betul-betul di kepalanya.
Anak perempuannya sebelumnya berada di sisi wanita tersebut terlebih dahulu sudah pun berada agak jauh ke tepi kerana terkejut dengan kelajuan kereta api terbabit.
Impak daripada kejadian berkenaan, wanita itu kemudiannya tertiarap di tepi landasan dengan seorang lelaki kemudiannya segera cuba menarik tubuhnya yang sudah tidak bergerak itu ke tepi.
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
Wanita terbabit terus tertiarap tidak bergerak selepas impak perlanggaran yang berlaku.
Bagaimanapun, mangsa yang dipercayai berusia sekitar lewat 20-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Canadian Pacific Kansas City (CPKC) yang juga pemilik kepada lokomotif kereta api lama itu mengesahkan mengenai kejadian tersebut.
CKPC turut memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dan akan menyediakan semua maklumat diperlukan kepada penyiasat sambil turut mengeluarkan nasihat kepada orang ramai yang pergi menyaksikan tren berkenaan.
"CPKC Mexico juga meminta orang ramai yang datang menyaksikan lintasan lokomotif ini supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak menghampiri atau melintasi landasan kereta api demi keselamatan mereka dan anak kapal.
“Semua orang yang ingin memerhatikan perjalanan kereta api itu hendaklah berada sekurang-kurangnya 10 meter dari landasan. Orang ramai tidak boleh berhenti berhampiran atau di landasan sendiri atau cuba naik ke kereta api atau mana-mana infrastruktur kereta api,” ujar kenyataannya.
Tren berkenaan, Canadian Pacific 2816 atau lebih dikenali sebagai 'Empress', ialah lokomotif wap yang dibina pada tahun 1930 untuk Kereta Api Pasifik Kanada.
Kereta api penumpang terbabit bertolak dari Calgary pada April untuk menyeberangi Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan Mexico dalam satu perjalanan sebagai sebahagian daripada untuk meraikan penggabungan yang mewujudkan Canadian Pacific Kansas City (CPKC).
Jelajah kereta api itu dijangka berakhir di Mexico City pada Jumaat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram