
SIASATAN polis mendapati tiada sebarang unsur sabotaj melibatkan kes sebuah kenderaan terbabas ke dalam kawasan sebuah gereja di Jalan SS 25/23 Taman Plaza, Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat lalu.
Kemalangan dilaporkan berlaku pada pukul 11.46 malam dan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30-an itu dalam perjalanan dari Subang Jaya ke Kelana Jaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa dan hanya mengakibatkan kerosakan harta benda.
BACA LAGI: [VIDEO] 10 maut, 60 cedera tragedi runtuhan gereja di Mexico
BACA LAGI: [VIDEO] Pihak berkuasa Indonesia perjelas video tular lelaki kurang waras solat di halaman gereja
Kenyataan dikeluarkan pihak polis berkaitan insiden yang berlaku tersebut. — Facebook/Polis Daerah Petaling Jaya
Katanya, pemandu SUV memaklumkan dia tersalah jalan dan secara tiba-tiba kenderaannya hilang kawalan lalu terbabas masuk ke kawasan pakir gereja.
"Pemandu SUV mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan. Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian tidak membabitkan sebarang unsur atau isu sabotaj atau khianat terhadap mana-mana pihak,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Ahad lalu, media melaporkan sebuah kenderaan terbabas dan melanggar pokok di Gereja St Ignatius, Petaling Jaya.
Paderi Lawrence Ng dalam kenyataan memaklumkan kenderaan itu terbabas masuk melalui pintu pagar dan merosakkan beberapa meja dan kerusi yang berada di tempat letak kereta berbumbung sebelum merempuh sebatang pokok di situ.
M Hussin berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis masih dalam tindakan mengesan dan merakam keterangan saksi bebas kejadian. Sampel darah pemandu motokar diambil dan akan diserahkan ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol dan dadah,” katanya.
Dalam pada itu, pihak polis ingin mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam.
Polis turut meminta kerjasama masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat atau berada di tempat kejadian untuk tampil membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram