Lepas hilang 11 hari, Ahli Parlimen Bangladesh ditemui mati di India


  • Benua
  • Rabu, 22 Mei 2024

Mayat Anar (gambar kiri) ditemui di sebuah rumah terbiar di Bandar Baru Kolkata pada awal pagi Rabu.

MENTERI Dalam Negeri Bangladesh, Asaduzzaman Khan mengesahkan seorang anggota parti pemerintah negara itu ditemui dibunuh di bandar Kolkata, India, selepas lebih seminggu dilaporkan hilang.

Anwarul Azim Anar, 56, daripada parti Liga Awami yang memenangi penggal ketiga berturut-turut di kawasan Jhenaidah, hilang pada 13 Mei lalu, sehari selepas pergi ke India untuk mendapatkan rawatan perubatan, menurut saudara maranya.

Khan memberitahu pemberita bahawa tiga warga Bangladesh telah ditangkap ekoran kematian itu.

BACA LAGI: Selain bekas Pengerusi Bersih, ada 4 nama dicadang isi kekosongan jawatan Pengerusi SPR

BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR

"Kami tidak boleh mendedahkan semua maklumat buat masa ini untuk kepentingan siasatan," kata menteri itu pada Rabu.

Mayat Anar ditemui di sebuah rumah terbiar di Bandar Baru Kolkata pada awal pagi Rabu, kata seorang timbalan pesuruhjaya polis di bandar itu.

Memetik maklumat daripada Wakil Bangladesh di Kolkata, Menteri Luar Bangladesh, Hasan Mahmud berkata, mayat pemimpin itu bagaimanapun tidak ditemui di flat dipercayai tempatnya dibunuh.

Laporan mengenai kehilangan ahli Parlimen itu telah dibuat oleh saudara-maranya di balai polis Baranagar di Kolkata Utara pada 18 Mei lalu.

WhatsApp Image 2024-05-22 at 10.51.45 PM

Lokasi kawasan perumahan terbiar di mana Bandar Baru Kolkata pada awal pagi Rabu. — Agensi

Menurut laporan itu, Anar melawat kediaman seorang individu bernama Gopal Biswas di Kolkata pada 12 Mei.

Keesokan harinya, dia dipercayai bertolak dari kediaman Biswas untuk berjumpa doktor.

Dia juga memberitahu keluarganya bahawa dia akan pulang ke Bangladesh pada waktu petang.

Tetapi dia kemudiannya terputus komunikasi dengan keluarganya sejak daripada itu, kata pembantu peribadi Anar, Abdour Rauf kepada agensi berita Anadolu.

“Mayatnya ditemui awal pagi hari ini (Rabu),” kata Rashid sambil menambah: “Punca kematian masih belum diketahui.”

Anak perempuan Anar berada di Kolkata pada Rabu untuk menerima mayat bapanya selepas bedah siasat dijalankan.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina mengucapkan takziah dan dukacita yang mendalam atas kematian ahli parlimen itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram