MAHKAMAH Rayuan Putrajaya menggantikan hukuman penjara 38 tahun seorang lelaki warga emas dengan pemenjaraan minimum 30 tahun bagi kesalahan membunuh jirannya berusia 77 tahun, empat tahun lepas.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohamad Shaharudin Zakaria, 69, untuk mengetepikan hukuman penjara 38 tahun yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak tahun lepas.
Mahkamah memerintahkan Mohamad Shaharudin menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 4 Mei 2020.
BACA LAGI: Cef tidak pernah jejak Malaysia, restoran Laut di New York dapat Bintang Michelin
BACA LAGI: [VIDEO] Lebur RM2,000 selepas dipukau dalam kedai tayar di Kluang
Hukuman penjara selama 38 tahun yang dijatuhkan kepada seorang warga emas digantikan dengan hukuman penjara 30 tahun.
"Hukuman penjara 38 tahun diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara 30 tahun. Kami mengambil kira faktor usia seperti yang dihujah peguam,” kata Hakim Ahmad Zaidi.
Mohamad Shaharudin didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada tahun lepas kerana membunuh Zaharah Khalid dengan menjerut dan mencampakkan mayatnya ke dalam parit di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Manjung, Perak kira-kira pukul 8 malam, 3 Mei 2020 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Terdahulu, peguam Rajith Singh yang mewakili Mohamad Shaharudin berhujah bahawa anak guamnya yang sudah berusia itu menghidap penyakit tekanan darah tinggi, jangkitan paru-paru dan asma.
"Saya memohon mahkamah ini menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira faktor usia dan kesihatan perayu, ia merupakan kesalahan pertamanya,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berhujah bahawa hukuman penjara 38 tahun perlu dikekalkan kerana lelaki itu tidak dikenakan hukuman sebatan.
"Sekiranya mahkamah membenarkan, saya mencadangkan hukuman sekurang-kurangnya 35 tahun (penjara) dikenakan terhadap perayu,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram