Denggi: Nyamuk Aedes betina kerap gigit waktu panas — KP Kesihatan


  • Primer
  • Isnin, 20 Mei 2024

Kes denggi dijangka meningkat susulan cuaca Monsun Barat Daya yang melanda negara ketika ini. — Gambar hiasan

POPULASI nyamuk Aedes didapati meningkat akibat Monsun Barat Daya dan cuaca panas serta kering yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kitaran hidup nyamuk dari fasa telur sehingga dewasa akan menjadi lebih pendek susulan situasi tersebut.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk terus memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan luar rumah.

BACA LAGI: Malaysia catat 26,365 kes demam denggi 2021, terendah sejak sedekad — KP Kesihatan

BACA LAGI: Boleh jadi punca maut, perhatikan simptom demam denggi yang perlu dibendung

DSC05020

Air bertakung merupakan antara tempat pembiakan nyamuk Aedes yang perlu dibersihkan.

Ini termasuk melakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes sekurang-kurangnya 10 minit sekali seminggu.

“Selain itu, nyamuk Aedes betina akan menggigit dengan lebih kerap semasa cuaca panas untuk mendapatkan sumber protein iaitu darah bagi penghasilan telur,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan sepanjang tempoh Monsun Barat Daya bermula pada 17 Mei dan berterusan sehingga September depan, taburan hujan dijangka berkurangan dan menjadikan cuaca lebih panas.

Mengulas mengenai situasi semasa deman denggi di negara ini, Dr Muhammad Radzi berkata, jumlah kes penyakit itu yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-19 tahun 2024 (ME 19/2024) bagi tempoh 5 Mei hingga 11 Mei lalu meningkat berbanding minggu sebelumnya.

Sebanyak 2,338 kes direkodkan pada ME 19/2024 dengan satu kematian akibat komplikasi demam denggi berbanding 1,995 kes dan tiada kematian pada minggu sebelumnya.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 19/2024 adalah sebanyak 57,220 kes berbanding 41,175 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

“Manakala terdapat 40 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 26 kematian bagi tempoh sama pada tahun 2023,” katanya.

Sebanyak 60 lokaliti hotspot dicatatkan pada ME 19/2024 berbanding 70 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 45 lokaliti dikenal pasti di Selangor, tujuh lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Sarawak (3), Pulau Pinang (2) serta masing-masing satu lokaliti di Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.

Bagi survelan chikungunya, terdapat satu kes direkodkan pada ME 19/2024 menjadikan jumlah kumulatif adalah 24 kes dan tiada wabak Chikungunya dilaporkan.

Sementara itu, bagi survelan zika, sebanyak 974 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan saringan dengan hasil kesemua adalah negatif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram