[VIDEO] Lelaki selisih maut, kereta rentung ketika isi minyak di Kangar


  • 112
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Tangkap layar memaparkan keadaan kereta yang hangus terbakar di sebuah stesen minyak di Repoh, Kangar, Perlis. — Facebook/TanpaNama

SEORANG lelaki nyaris maut apabila bahagian tangki petrol keretanya tiba-tiba meletup dan terbakar ketika sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Repoh, Kangar, Perlis.

Kejadian berlaku sekitar pukul 4.10 petang yang mana mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an itu sedang berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi petrol pada kereta Proton Iswara Aeroback.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang berada di salah sebuah pam untuk mengisi petrol pada keretanya.

BACA LAGI: Tak pulang beraya, mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram simpan hajat mahu rai hari lahir ibu

BACA LAGI: Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram bawa 'shield', mahu rampas senjata api — KPN

“Tatkala pengisian petrol sedang dilakukan, dengan tiba-tiba bahagian tangki kereta itu meletup sehingga mengakibatkan kereta mangsa dijilat api pada keseluruhan kereta.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan akibat percikan serpihan kaca keretanya yang meletup dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh kakitangan stesen minyak berkenaan sekitar 4.25 petang selepas 15 minit kerja pemadaman dilakukan mereka.

“Berdasarkan maklumat siasatan awal forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perlis pula, mereka mendapati bahawa punca kebakaran atau cetusan api itu bermula di bahagian kiri tempat duduk hadapan penumpang.

“Malah, pihak bomba turut mengesyaki bahawa cetusan api ini adalah dari tindak balas sampel yang diambil iaitu sebuah telefon bimbit dengan wap petrol yang berada di dalam kereta itu sehingga tercetusnya ‘spark’ percikan api awal yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kiri tersebut.

“Selain itu, pihak bomba juga mengambil sampel pengecas telefon bimbit dan rokok di tempat yang dijumpai di bahagian kiri tempat duduk penumpang hadapan itu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kebakaran adalah disebabkan kemalangan semata-mata dan tiada unsur jenayah ditemui.

Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap JBPM Negeri Perlis berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar dikerah ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai berhubung kejadian itu.

Kebakaran turut membabitkan kerosakan bahagian bumbung stesen minyak berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram