PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) FC terus mencuri tumpuan penyokong tanah air apabila terpaksa memakai kit jersi pramusim bagi perlawanan pertama menentang Penang FC pada Sabtu.
Ia ekoran selepas penaja utama kelab berkenaan menarik diri baru-baru ini yang menyebabkan pasukan kendalian Nafuzi Zain itu tidak mempunyai kit jersi perlawanan liga.
Selain isu jersi, perjalanan Kedah ke Lembah Klang yang menggunakan bas ekspres juga dianggap berlaku kerana masalah kewangan yang masih belum diselesaikan oleh pasukan Utara tanah air tersebut.
BACA LAGI: Syafiq Ahmad hanya perlukan 2 minit buktikan diri masih berbisa
Syafiq Ahmad hanya memerlukan dua minit sahaja untuk mencipta semula nama di bumi Kedah. — Facebook/KDAFC
Bagaimanapun, pihak KDA FC memberitahu faktor ingin mengelak daripada penjadualan semula penerbangan menjadi punca kelab lebih memilih untuk menaiki bas daripada pesawat.
Bercakap mengenai isu tersebut, legenda Harimau Malaya, Reduan Abdullah berpandangan bahawa isu penaja menarik diri boleh memberi kesan kepada pemain.
"Pendapat saya, isu seperti itu memberi kesan kepada persembahan dan mata pencarian pemain.
"Seperti yang kita tahu, penaja memainkan peranan penting terutamanya dari segi gaji pemain, sekiranya tiada penaja ketika ini, pastinya akan menjejaskan permainan pemain," katanya kepada Majoriti.
Di samping itu, Reduan juga berharap agar pihak pengurusan Sang Kenari bertindak pantas dalam mencari penaja baharu bagi kelab tersebut.
"Pihak pengurusan perlu berusaha untuk mencari pengganti penaja secepat mungkin, pemain kena fokus ketika bermain dan tidak membebankan mereka memikirkan hal lain.
"Pihak pengurusan memainkan peranan penting dalam hal ini agar gaya permainan pemain tidak terjejas pada perlawanan akan datang," kongsinya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram