PIALA Sumbangsih 2024 terus kekal di bumi Johor apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan kemenangan ‘walkover’ kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan jaringan 3-0 pada Jumaat.
Keputusan itu bermakna, Harimau Selatan turut diberikan tiga mata bagi perlawanan pertama Liga Super 2024/25 selepas Selangor FC mengambil keputusan untuk menarik diri.
Bagaimanapun, tumpuan penyokong tanah air pastinya beralih kepada tiga perlawanan menarik Liga Super yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.
BACA LAGI: ‘Piala Sumbangsih nama sultan, jangan sesuka hati tukar jadi Piala Sumbangan'
BACA LAGI: RTM siar 61 aksi Liga Malaysia secara percuma
PDRM FC membuat persiapan dengan baik apabila membawa masuk beberapa nama besar dalam skuad tersebut. — Facebook/PDRMFC
Antara pasukan yang terlibat pada sepak mula pada Sabtu ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang PDRM FC, Sri Pahang melayan kunjungan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan aksi sengit antara Terengganu FC (TFC) serta Perak FC.
Dalam pada itu, Majoriti akan meramal keputusan bagi ketiga-tiga perlawanan menarik tersebut.
1) KDA FC vs PDRM
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor itu, PDRM FC dijangka akan membuat kejutan dengan meraih tiga mata penuh di laman sendiri.
Ia kerana The Cops yang kini dikendalikan oleh P.Maniam itu cukup dikenali dengan status giant killer.
Bukan itu sahaja, prestasi kurang menyakinkan Sang Kenari dalam perlawanan pramusim antara faktor utama pasukan kendalian Nafuzi Zain dijangka tersungkur di laman lawan.
Malah, kehadiran penyerang berbisa Nigeria, Ifedayo Olesegun ke skuad Sang Saka Biru itu dijangka mampu memberi tekanan kepada skuad Sang Kenari.
Skuad Tok Gajah pastinya tidak mahu mengecewakan penyokong mereka apabila bakal beraksi di laman sendiri berdepan KDN. — Facebook/SRP
2) Pahang vs KDN
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Sri Pahang FC dijangka akan meraih kemenangan mudah berdepan KDN dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Temerloh, Pahang.
Jika melihat kepada skuad bagi kedua-dua pasukan, skuad Tok Gajah mempunyai kelebihan kerana dibarisi dengan pemain-pemain berkualiti seperti pemain pinjaman dari Harimau Selatan, Manuel Hidalgo, import berbisa, Kpah Sherman dan pemain naturalisasi, Sergio Aguero.
Kemenangan mudah tentunya dapat dihasilkan oleh anak-anak buah Fandi Ahmad kerana dilihat lebih cergas jika dibandingkan dengan pemain KDN.
Lebih-lebih lagi Tok Gajah sebelum ini pernah menewaskan KDN dengan keputusan 0-1 dalam aksi pramusim yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kelantan April lalu.
Benteng pertahanan Sang Penyu dijangka sukar ditembusi lawan kerana kehadiran Azam Azmi Murad (dua kiri). — Facebook/TFC
3) Terengganu vs Perak
Meskipun akan beraksi tanpa pemain sayap, Akhyar Rashid namun ia bukan penghalang bagi skuad Sang Penyu untuk meraih kemenangan pada Sabtu.
Beraksi di laman sendiri, pastinya ia akan memberi suntikan semangat kepada Terengganu FC lebih-lebih lagi di hadapan penyokong sendiri.
Kualiti yang dimiliki pasukan Perak ketika ini belum berada pada tahap yang baik jika dibandingkan dengan Sang Penyu yang bergelar juara dalam Agarbomb Performance Cup 2024.
Meskipun TFC kehilangan khidmat penyerang utama mereka, Ivan Mamut akibat kecederaan, namun Ismaheel Akinde dilihat sudah serasi dengan skuad tersebut.
Malah, TFC yang mengimpikan kemenangan aksi Liga Super pertama ini pastinya akan membantu skuad tersebut meraih kemenangan dengan semangat yang berkobar-kobar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram