Hamas setuju cadangan gencatan senjata 7 bulan, Israel berkeras serang Rafah


  • Benua
  • Selasa, 07 Mei 2024

Penduduk di Rafah meraikan keputusan Hamas menerima cadangan senjata dikemukakan untuk menamatkan perang di Gaza. — Agensi

HAMAS menyatakan persetujuan terhadap cadangan gencatan senjata di Gaza yang dikemukakan negara pengantara Qatar dan Mesir.

“Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Pergerakan Hamas, mengadakan panggilan telefon dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dan Menteri Perisikan Mesir, Abbas Kamel, bagi memaklumkan kepada mereka tentang persetujuan Hamas mengenai gencatan senjata,” kata kumpulan tersebut dalam satu kenyataan disiarkan di laman web rasminya pada Isnin.

Pengumuman Hamas pada Isnin itu disambut dengan meriah rakyat Palestin di Gaza yang berharap ia akhirnya akan membawa kepada penamatan perang yang sudah berlangsung selama hampir tujuh bulan.

Dalam tempoh itu, Israel membunuh sekurang-kurangnya 34,700 orang di wilayah tersebut.

BACA LAGI: PRK KKB: Pinjam along, sampul raya antara 4 kontroversi hangatkan suhu minggu pertama kempen

photo1715049620

Ketua Biro Politik Pergerakan Hamas, Ismail Haniyeh. — Agensi

Bagaimanapun, respons daripada rejim Zionis kurang memberangsangkan dengan ia terus menekankan hasratnya menyerang Rafah di selatan Gaza dan seterusnya menghapuskan Hamas sepenuhnya.

Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu mengorbankan kira-kira 1,400 orang, manakala 250 individu lagi diculik dan dibawa ke Gaza.

Kira-kira 100 daripada tawanan itu dipercayai masih hidup dan berada di Gaza, dengan yang lain dibebaskan atau terbunuh semasa perang.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat dilihat mengambil pendirian untuk mengunci mulut berhubung perkembangan terbaharu tersebut.

Pegawai Rumah Putih berkata, pentadbiran negara berkenaan sedang mengkaji semula maklum balas Hamas terhadap cadangan gencatan senjata, tetapi tidak memberikan sebarang butiran mengenai perjanjian itu atau intipati yang dipersetujui.

Dalam pada itu, pegawai Hamas turut menunjukkan kepada Al Jazeera salinan cadangan gencatan senjata Mesir-Qatari yang menurut pergerakan itu telah dipersetujui.

Cadangan itu merangkumi tiga fasa dengan setiap daripadanya berlangsung selama enam minggu.

Ia bakal menyaksikan berakhirnya perang Israel ke atas Gaza serta pembebasan tawanan Israel ditahan di Semenanjung Gaza dan rakyat Palestin ditahan di penjara Israel.

Fasa pertama, melibatkan pemberhentian sementara serangan antara Hamas dan Israel serta pengunduran tentera Israel ke Timur, jauh dari kawasan yang lebih padat penduduk di Gaza, dan ke arah sempadan antara Israel dan Palestin.

Pesawat dan dron Israel juga akan berhenti terbang di ruang udara Gaza selama 10 jam setiap hari, dan selama 12 jam pada hari apabila tawanan dibebaskan.

Dalam pada itu, Hamas akan secara beransur-ansur membebaskan 33 tawanan sama ada tawanan yang masih hidup atau mayat tawanan yang telah mati pada fasa pertama.

Tawanan itu melibatkan wanita, sesiapa sahaja yang berumur 50 tahun ke atas, mereka yang sakit atau bukan tentera di bawah umur 19 tahun.

Bagi setiap tawanan orang awam Israel awam dibebaskan, rejim Zionis akan membebaskan 30 orang Palestin yang telah ditahannya di penjara.

Bagi setiap askar wanita yang dibebaskan Hamas, Israel akan membebaskan 50 rakyat Palestin.

Pengunduran tentera Israel akan membolehkan orang awam Palestin yang dipindahkan untuk kembali ke rumah mereka di seluruh Gaza, yang akan berlaku secara beransur-ansur apabila Hamas membebaskan tawanan.

Secara berasingan, perjanjian itu menetapkan bahawa kerja pembinaan semula di Gaza mesti bermula dalam fasa pertama serta aliran bantuan dari UNRWA dan organisasi bantuan lain dibenarkan bekerja membantu orang awam.

Dalam fasa kedua perjanjian itu, operasi ketenteraan akan ditamatkan secara kekal dan pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza.

Terdapat juga satu lagi pertukaran tahanan dalam fasa tersebut, kali ini melibatkan semua lelaki Israel termasuk tentera yang ditahan di Gaza.

Rakyat Israel akan dibebaskan sebagai balasan kepada bilangan tawanan Palestin yang masih belum ditentukan.

Fasa ketiga akan menyaksikan pertukaran jenazah tawanan dan banduan yang ditahan oleh kedua-dua pihak.

BACA LAGI: Latar belakang pendidikan calon jadi pertikaian? Ini pandangan pengundi PRK KKB

photo1715049579 (1)

Keadaan beberapa rumah Palestin yang hancur akibat serangan udara Israel. — Agensi

Daripada segi pembangunan, fasa ini akan melibatkan rancangan pembinaan semula selama tiga hingga lima tahun untuk Gaza dan mungkin yang paling signifikan menamatkan sekatan Israel ke atas kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Israel pada Isnin memberitahu rakyat Palestin di Timur Rafah untuk keluar kerana ia bersedia melancarkan kempen ketenteraan di kawasan selatan Gaza itu walaupun mendapat tentangan antarabangsa.

Keputusan itu menunjukkan pihak Israel tidak mengambil kira langsung mengenai perjanjian gencara senjata terbabit.

Timbalan Ketua Hamas, Khalil al-Hayya berkata, keputusan berkenaan kejayaan perjanjian gencatan senjata itu kini berada di tangan Israel.

Pihak Israel kini dilihat mengambil langkah berhati-hati dengan laporan awal medianya dilihat memberi bayangan bahawa perjanjinan dipersetujui oleh Hamas itu bukan sesuatu yang dipersetujui oleh rejim berkenaan.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir segera menggunakan media sosial untuk menolak perjanjian itu dan menyeru serangan terhadap Rafah.

Seorang pegawai Israel yang bercakap kepada agensi berita Reuters menambah bahawa pengumuman Hamas dilihat "sebagai muslihat bertujuan untuk menjadikan Israel kelihatan seperti pihak yang menolak perjanjian".

Pada masa sama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, perjanjian itu gagal memenuhi tuntutan Israel tetapi beliau akan menghantar delegasi ke Kaherah untuk bertemu pihak perunding.

Dia menambah Kabinet perang Israel telah bersetuju sebulat suara untuk "meneruskan operasi di Rafah bagi memberikan tekanan ketenteraan ke atas Hamas".

Media turut melaporkan mengenai serangan udara hebat dilancarkan rejim tersebut di selatan Gaza.

Sementara itu, ahli keluarga tawanan dari Israel yang ditahan di Gaza membuat bantahan di Tel Aviv dan menggesa kerajaan menerima perjanjian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram