Bentuk kerajaan perpaduan, Hamas setuju bubar briged Al-Qassam dengan syarat


  • Benua
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Hamas memberi isyarat bahawa kumpulan militan itu bersedia untuk bersetuju dengan gencatan senjata pembebasan tebusan. — Agensi

HAMAS dilaporkan sedia membubarkan kumpulan pejuangnya bagi mengakhiri perang di Gaza, sekali gus membebaskan askar Israel yang menjadi tebusan pergerakan Islam Palestin itu.

Menurut laporan media antarabangsa, Timbalan Pengerusi Hamas, Dr Khalil Al Hayya berkata, Hamas bersedia untuk membubarkan Briged Al-Qassam dengan balasan Palestin ditubuhkan sebagai negara berdaulat berdasarkan Sempadan 1967.

Hamas bersedia untuk bergabung dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) diketuai Parti Fatah dan parti lain bagi membentuk kerajaan perpaduan di Gaza dan Tebing Barat.

Pejuang Palestin daripada parti-parti berbeza akan bergabung membentuk Angkatan Tentera Palestin yang baharu.

BACA LAGI: [VIDEO] Tentera simpanan Israel terima padah ketika cuba cabut bendera Palestin

Palestin

Keadaan beberapa rumah Palestin yang hancur akibat serangan udara Israel. — Agensi

BACA LAGI: Jemput profesor AS pro-Israel: UM mohon maaf, akan ambil tindakan tegas

Sementara itu, ahli biro politik Hamas, Basem Naim berkata, kumpulan tersebut akan bersetuju untuk melucutkan senjata sekiranya Palestin diangkat sebagai sebuah negara yang merdeka.

“Ia boleh berlaku jika Palestin mendapat status negara merdeka dengan ibu kotanya terletak di Baitulmaqdis, pelarian Palestin diberi hak untuk pulang dan Al-Qassam berfungsi sebagai tentera negara (pada masa hadapan)," katanya.

Hamas menolak penyelesaian dua negara merangkumi sebuah negara Palestin merdeka yang bersebelahan dengan Israel.

Sebaliknya mereka lebih menyokong penubuhan negara Palestin di seluruh kawasan merangkumi Israel, Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Gaza.

Difahamkan, perjanjian itu merangkumi paling kurang gencatan senjata selama empat hari, dengan Israel akan menghentikan serangan di Gaza manakala Hamas membebaskan sekurang-kurangnya 50 daripada kira-kira 240 tahanan.

Perang di Gaza tercetus pada 7 Oktober tahun lalu selepas Hamas melancarkan serangan mengejut ke wilayah haram Isreal bagi membalas kekejaman Zionis di wilayah Palestin ini.

Kemudian, tentera rejim melancarkan operasi ketenteraan dengan menyasarkan kemudahan awam, penempatan penduduk dan institusi pendidikan di Gaza sebagai serangan balas.

Tindakan kejam Israel itu mengakibatkan lebih 30,000 nyawa penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak menjadi korban dalam perang yang sudah berlanjutan hampir 200 hari. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram