IRAN memberi amaran kepada Israel bahawa ia akan menggunakan senjata 'tidak pernah digunakan sebelum ini' sekiranya rejim itu melakukan serangan balas terhadap Tehran.
Perkara itu dinyatakan Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian ketika bercakap bersama Setiausaha Luar United Kingdom (UK), David Cameron.
“(Jika Israel) membuat sebarang serangan, tindak balas kami seterusnya adalah lebih segera, kuat dan meluas,” katanya.
Sebelum itu, jurucakap Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Iran, Abolfazl Amoui turut berkongsikan sentimen serupa.
Menerusi laporan Al-Mayadeen News, sebuah saluran berita Lubnan yang bersekutu dengan Iran, beliau berkata, negaranya tidak akan teragak-agak menggunakan senjata yang tidak pernah digunakan sebelum ini sekiranya terdapat sebarang serangan daripada Israel.
“Kami akan menghadapi sebarang pencerobohan Israel dan bertindak balas terhadapnya. Kami sedia menggunakan senjata yang kami tidak pernah gunakan sebelum ini. Kami mempunyai rancangan untuk semua senario dan meminta Zionis untuk bertindak secara rasional,” ujarnya.
BACA LAGI: Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi
Abolfazl berkata, negaranya tidak akan teragak-agak menggunakan senjata yang tidak pernah digunakan sebelum ini sekiranya terdapat sebarang serangan daripada Israel. — Agensi/GambarHiasan
Iran melancarkan kira-kira 300 peluru berpandu dan dron ke atas Israel pada Sabtu lalu sebagai tindak balas serangan Israel ke atas bangunan kedutaannya di Damsyik, Syria pada 1 April yang mengorbankan 12 orang, termasuk dua jeneral Iran.
Susulan daripada itu, Tehran pada Ahad berkata, tindak balas yang dilakukan ke atas rejim Zionis sudah selesai.
Bagaimanapun, Iran berkata, negara itu bersedia untuk membuat serangan lebih teruk sekiranya rejim Zionis melakukan sebarang serangan balas.
Terdahulu, kabinet perang Israel pada Isnin memberi amaran bahawa pencerobohan Iran pada hujung minggu tidak boleh dipandang ringan dan reaksi 'jelas, kuat' diperlukan.
“Israel sedang mempertimbangkan langkah seterusnya dan pelancaran begitu banyak peluru berpandu dan dron ke wilayah Israel akan dijawab dengan tindakan balas,” kata ketua Angkatan Pertahanan Israel (IDF) Herzi Halevi pada Isnin.
Dalam pada itu, badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Isnin berkata, Iran telah menutup kemudahan nuklearnya pada Ahad atas "pertimbangan keselamatan".
BACA LAGI: Akaun 3 KWSP tambah alternatif simpanan pencarum, sedia dana kecemasan ketika terdesak
The Iranian Army held its annual parade marking the Army Day. According to the commander of Iran’s Ground Forces, the military presented its new types of weapons. pic.twitter.com/RQFkQ4FCPC
— RT (@RT_com) April 19, 2023
Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi berkata, badan pemantau PBB telah mengeluarkan anggota pemeriksanya dari tapak loji nuklear Iran sehingga keadaan konflik yang berlaku kembali tenang.
Ketika ditanya mengenai potensi serangan Israel ke atas tapak nuklear Iran, Grossi berkata, "Kami sentiasa mengambil berat tentang kemungkinan ini," sambil menggesa semua pihak supaya lebih bertenang.
Badan pemantau itu bimbang bahawa Israel mungkin menyasarkan tapak nuklear Iran tetapi menambah ia akan meneruskan penilaiannya pada Selasa.
Bagaimanapun, pegawai Amerika Syarikat (AS) percaya tindak balas Israel akan terhad dan rejim Zionis itu akan mengelak daripada melancarkan perang besar-besaran.
Seorang pegawai AS yang dipetik oleh NBC News berkata, Israel boleh melancarkan serangan di luar daripada wilayah Iran. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram