[VIDEO] Jangan terpedaya video 'Tanya pasal kuarters je dah kena macam tu depan KSN' — JPA


  • Primer
  • Jumaat, 12 Apr 2024

Video tular merupakan rakaman lama simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif. — JPA

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil perhatian serius terhadap penularan video lama yang dimuat naik sebuah portal yang disifatkan seolah-olah mahu membawa sentimen negatif terhadap kerajaan.

JPA menerusi kenyataan pada Jumaat menjelaskan video bertajuk 'Tanya pasal kuarters je dah kena macam tu depan KSN' merupakan rakaman lama simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.

"JPA mengambil serius terhadap sebarang cubaan untuk melemahkan institusi perkhidmatan awam dengan memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap isu dan kebajikan pegawai awam di negara ini," kata kenyataan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Allahuakbar', saksi nampak rider terpelanting rempuh Black Maria di Melaka

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki mengamuk anak dan isteri cedera sampai berdarah tercampak dari ‘sotong ride’ di Taiping

Tambahnya lagi, orang awam dinasihati supaya tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang dikongsikan bagi tujuan mencalarkan imej kerajaan dan perkhidmatan awam sebagai barisan hadapan negara.

"Tindakan dengan memuat naik sebarang kandungan palsu yang mengundang salah faham dan mengelirukan masyarakat boleh disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Seksyen 233 kepada yang terlibat," katanya.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 1:10 minit yang dimuat naik semula dengan membina persepsi seolah-olah pegawai awam mendapat layanan kurang baik daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menerusi rakaman itu, penjawat awam itu seolah-olah telah dinafikan dan dihalang oleh sekumpulan polis bantuan, selepas bertanyakan mengenai status permohonan kuarters kerajaan yang masih belum diluluskan di dalam suatu majlis dihadiri oleh beliau.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghubungi pengendali akaun media sosial MyNewsHub untuk dirakam percakapan susulan tindakan memuat naik dan memainkan semula klip video lama yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

MCMC dalam kenyataan pada Jumaat memandang serius penularan video berdurasi 1 minit 10 saat dengan tajuk, "Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!" yang dilihat berniat untuk membina persepsi negatif terhadap penjawat awam.

Berdasarkan kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam, video tersebut merupakan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram