[VIDEO] Koperal pandu 'Black Maria' ditahan kes kemalangan maut remaja bermotosikal — Polis


  • 112
  • Jumaat, 12 Apr 2024

Tangkap layar kejadian Mohammad Khairul Basahri (bulatan merah) merempuh kenderaan Black Maria di Jalan Gangsa Kesang dekat Durian Tunggal pada Rabu.

SEORANG anggota polis berpangkat koperal ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dengan kenderaan polis pada Rabu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah mengesahkan anggota terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada pukul 9 pagi Jumaat.

Beliau berkata, ketika ini rakaman percakapan masih dijalankan dan polis menunggu reaksi serta kerjasama daripada anggota berusia 37 tahun yang sudah berkahwin itu.

"Saringan ujian air kencing turut dijalankan dan anggota berkenaan bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Zainol berkata, setakat ini pihaknya menerima enam laporan berkaitan insiden berkenaan dan tiga rakaman percakapan daripada saksi dan ahli keluarga mangsa sudah dilengkapkan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Allahuakbar', saksi nampak rider terpelanting rempuh Black Maria di Melaka

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja rempuh kenderaan polis di Melaka meninggal dunia selepas 9 jam bertarung nyawa

Beliau berkata, berikutan mangsa penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu hingga menyebabkan kematian.

"Jika disabitkan seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 hingga RM50,000," katanya.

Beliau mengulangi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional serta berharap agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian dapat menghubungi ketua bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik, IPD Alor Gajah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Majoriti melaporkan remaja lelaki yang terlibat dalam satu kemalangan melibatkan kenderaan polis (Black Maria) di Jalan Gangsa Kesang dekat Durian Tunggal pada Rabu meninggal dunia.

Mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18, dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka (HM) meninggal dunia di hospital berkenaan selepas lebih sembilan jam bertarung nyawa pada 12.37 tengah malam Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram