[VIDEO] Banyak bangunan runtuh, gempa bumi terkuat dalam tempoh 25 tahun melanda Taiwan


  • Benua
  • Rabu, 03 Apr 2024

Antara bangunan yang runtuh akibat gegaran kuat melanda Taipei, Taiwan pada Rabu.

GEMPA bumi berukuran 7.4 magnitud dianggap sebagai yang terkuat dalam tempoh sekurang-kurangnya 25 tahun melanda Taipei, Taiwan pada Rabu.

Gegaran kuat yang menyebabkan runtuhan beberapa buah bangunan itu sekali gus memberi amaran tsunami kepada pulau-pulau di selatan Jepun dan Filipina.

BACA LAGI: Dugaan minggu akhir Ramadan, wanita kecewa cermin kereta retak dilempar plastik makanan di rumah flat

Pengarah Pusat Seismologi Taipei, Wu Chien Fu berkata, ia adalah paling kuat dirasai seluruh Taiwan dan pulau-pulau luar sejak gempa bumi pada September 1999 yang mengorbankan 2,400 orang.

"Gempa bumi hampir dengan daratan dan ia cetek. Ia adalah yang paling kuat dalam 25 tahun sejak gempa bumi (1999)," katanya.

Dalam pada itu, Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu bermagnitud 7.4, dengan pusat gempa 18 kilometer (km) di selatan Bandar Hualien, Taiwan, dan pada kedalaman 34.8 km.

Manakala, Agensi Meteorologi Jepun pula menyatakan gempa itu bermagnitud 7.5.

Ombak tsunami setinggi tiga meter juga dijangka berlaku di pulau-pulau terpencil Jepun termasuk pulau Miyakojima.

BACA LAGI: Kerajaan mahu laksana subsidi bersasar, tapi ramai khuatir tak lepas syarat kelayakan

GKM3Je1WcAAGsUr

Gegaran kuat menyebabkan beberapa buah bangunan runtuh.

Pusat Rangkaian Gempa Bumi China merekodkan lima gegaran susulan sekitar lima magnitud di Taiwan dalam masa sejam selepas gempa awal.

Kerajaan bandar Taipei bagaimanapun tidak menerima sebarang laporan kerosakan, manakala pengendali elektrik Taipower berkata, lebih 87,000 penduduk di Taiwan masih terputus bekalan elektrik.

Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan berkata, gempa bumi itu mencatatkan keamatan kedua tertinggi bagi Upper 6 di daerah Hualien, pada skala keamatan satu hingga tujuh.

Agensi Meteorologi Jepun pada masa sama menjangkakan bahawa jika gempa bumi enam ke atas, kebanyakan dinding blok konkrit tidak bertetulang (ringan) akan runtuh dan ia mustahil untuk orang ramai terus berdiri atau bergerak tanpa merangkak.

Setakat ini, tiada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan berhubung kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram