BAGAIKAN sudah aturan dunia, setiap kejahatan dilakukan pastinya akan dibalas dengan kejahatan. Begitu juga sebaliknya.
Pada 10 Mei 2017, seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) di Chester County, Pennsylvania yang menghidap palsi serebrum berdepan detik tidak boleh dilupakan selepas dia ditumbuk seorang lelaki tidak dikenali tanpa sebarang sebab munasabah.
Ketika kejadian, mangsa yang ketika itu berusia 22 tahun baru sahaja meletakkan keretanya di depan sebuah kedai runcit dan keluar untuk membeli barangan.
Bagaimanapun, dia kemudiannya secara tiba-tiab dihampiri oleh seorang lelaki tidak dikenali yang mula mengejek termasuk dengan mengajuk caranya berjalan.
Tidak cukup dengan itu, suspek yang kemudiannya dikenali sebagai Barry Baker Jr turut bertindak di luar dugaan apabila menumbuk mangsa tepat ke arah muka.
Selepas melakukan perbuatan tersebut, Barry terus meninggalkan lokasi dan meninggalkan pemuda itu yang berada dalam kesakitan.
Peristiwa mengejutkan itu turut dirakam oleh kamera keselamatan di tempat kejadian.
Susulan daripada insiden tersebut, mangsa dilaporkan membuat laporan polis dengan suspek kemudiannya didakwa atas kesalahan melakukan serangan ringan dan beberapa kesalahan lain yang berkaitan.
BACA LAGI: Jadikan Birmingham muflis sebagai iktibar, ini pro-kontra Malaysia anjur Sukan Komanwel 2026
Dalam kejadian pada 10 Mei 2017 itu, Barry (kanan) dirakam mengejek seorang pemuda yang menghidap palsi serebrum sebelum menumbuk mangsa tepat ke arah muka. — Agensi
BACA LAGI: Moreh antara 3 tradisi masyarakat Melayu meresap jadi amalan umat Islam sepanjang Ramadan
Pihak berkuasa kemudiannya melaporkan Barry kemudiannya menghilangkan diri selepas dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak $25,000 (RM117,150).
Pada masa sama, Barry juga dilaporkan melanggar hukuman parol yang dikenakan terhadapnya.
Kejadian pukul yang melibatkan pemuda OKU itu sememangnya mendapat perhatian masyarakat yang rata-ratanya menyifatkan perbuatan lelaki tersebut sebagai sangat biadab dan tidak berperikemanusiaan.
Malah, tindak-tanduk dipaparkan Barry selepas diberikan hukuman ringan itu juga menggambarkan seolah-olah dia tidak insaf dengan perbuatan dilakukannya.
Bagaimanapun, selepas enam tahun kejadian tersebut, Barry dilaporkan maut selepas terlibat dalam satu kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada polis dengan menunggang motosikal.
Dalam kejadian pada 20 April 2023 itu, motosikal ditunggang Barry dikatakan hilang kawalan ketika berada di sebuah lebuh raya di Chester County.
Barry meninggal dunia tempat kejadian dengan polis tidak mendedahkan mengenai punca sebenar mereka mengejar suspek. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram