SEJAK beberapa bulan lalu, khabar angin dan konspirasi mengenai tahap kesihatan Princess of Wales, Kate Middleton mula bertiup kencang dalam kalangan pemerhati di media sosial.
Ia selepas Princess of Wales itu mengambil tempoh agak lama untuk muncul di khalayak umum selepas dua bulan selesai melakukan pembedahan perut.
Perhatian mengenai perkara tersebut menjadi lebih memuncak pada Ahad selepas Istana Kensington mengeluarkan gambarnya bersama tiga anaknya bersempena dengan Hari Ibu.
Foto tersebut yang dikatakan diambil Putera William memaparkan Kate bersama tiga cahaya matanya iaitu Putera George, Putera Louis dan Puteri Charlotte.
Bagaimanapun, gambar berkenaan mencetuskan kontroversi selepas ia didakwa dimanipulasi sehingga menyebabkan beberapa agensi berita utama termasuk Associated Press dan Reuters menarik balik pemakaian foto terbabit.
Susulan daripada kontroversi tersebut, Kate tampil membuat permohonan dan mengambil tanggungjawab atas kekeliruan yang berlaku.
BACA LAGI: Moreh antara 3 tradisi masyarakat Melayu meresap jadi amalan umat Islam sepanjang Ramadan
Foto terkini Kate (kanan) bersama Putera William yang dilihat meninggalkan Istana Windsor pada Isnin. — Agensi
BACA LAGI: [VIDEO] Payung terjun 'tak kembang', anggota Paskau berdepan detik cemas ketika di udara Kuantan
Sementara itu, sumber yang rapat dengan situasi itu turut melahirkan kebimbangan atas perkembangan tersebut.
Malah, sumber berkenaan turut membangkitkan mengenai tahap kesihatan Kate yang berkemungkinan lebih teruk daripada yang dijangkakan pada peringkat awal.
"Sesuatu yang sangat tidak kena," kata sumber itu kepada The Post.
"Idea bahawa Kate tidak boleh duduk untuk satu sesi bergambar memberikan gambaran kepada saya ini adalah situasi yang lebih teruk daripada apa yang diketahui umum."
Di tengah-tengah kontroversi tersebut, Kate kemudiannya dirakam meninggalkan Istana Windsor bersama Putera William pada Isnin.
Foto tersebut bagaimanapun tidak menampakkan wajahnya kerana ia diambil dari sisi belakang.
Pasangan itu dilapor melakukan perjalanan ke Westminster Abbey untuk membuat kemunculan di khalayak awam buat pertama kali selepas lebih dua bulan Kate menjalani pembedahan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram