Ingatkan James Bond, rupanya ‘bodyguard’ misteri Raja Charles III


  • Benua
  • Sabtu, 06 Mei 2023

Pengawal peribadi (tengah) yang tidak dinamakan secara rasmi itu pertama kali dikesan sekitar tempoh kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 8 September 2022. — Agensi

RAJA Charles III dinobatkan sebagai Raja Britain pada Sabtu dalam acara istiadat terbesar negara tersebut sejak tempoh tujuh dekad lalu.

Raja Charles III menjadi raja di United Kingdom (UK) dan 14 kerajaan lain selepas kematian ibunya, Ratu Elizabeth II, pada September 2022.

Ribuan rakyat dijangka memenuhi jalanan dan jutaan lagi akan menonton upacara berkenaan di rumah serta seluruh dunia.

Bagi acara bersejarah itu, baginda akan diiringi pasukan keselamatan, yang diwarisi daripada ibunya.

Menuju kepada kemuncak majlis pertabalan Raja Charles III, salah seorang anggota keselamatannya telah menarik perhatian ramai di media sosial.

raja charles 5

Raja Charles III (kanan) menjadi raja di UK dan 14 kerajaan lain selepas kematian ibunya, Ratu Elizabeth II, pada September tahun lalu. — Agensi

Menurut laporan Metro, pengawal peribadi berjambang misteri yang tidak dinamakan secara rasmi itu pertama kali dikesan sekitar tempoh kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 8 September 2022.

Tahun lalu, pengawal itu dilihat menolak telefon seorang wanita yang sedang merakam Raja Charles III.

Terdapat juga beberapa peristiwa di mana pegawai itu memberitahu orang awam untuk 'tidak menggunakan telefon mereka' dan 'menikmati waktu tersebut'.

Sejak itu, pengawal keselamatan itu telah mengiringi baginda dalam beberapa penglibatan sosialnya.

Kebelakangan ini juga, banyak video tersebar di TikTok memaparkan dia berjalan masuk dan keluar dari Istana Buckingham dengan payung mewah.

Ramai yang membandingkannya dengan watak Harry Hart yang dibawakan pelakon Colin Firth dalam filem perisikan negara tersebut, Kingsman, dan merujuk payung yang dibawa itu sebagai 'gunbrella', selepas mengesyaki ia juga boleh digunakan sebagai pistol.

Walaupun ramai percaya bahawa dia merupakan seorang inividu daripada pasukan perkhidmatan rahsia, ada yang memuji ketampanan dan penampilannya yang seksi.

charles 3

Metro melaporkan seramai 11,500 pegawai polis akan mengawal acara pertabalan tersebut. — Agensi

Seorang pengguna menulis, "Saya suka dia, dia perlu menjadi James Bond seterusnya...lelaki yang luar biasa".

Seorang lagi mengulas, "Dia sangat kacak! Lelaki yang lengkap," sementara seorang pengguna lain menulis, ''Adakah dia boleh memberikan petua mengenai penjagaan jambang?"

Sementara itu, tahap keselamatan acara besar-besaran itu dipantau dengan rapi.

Metro melaporkan seramai 11,500 pegawai polis akan mengawal acara pertabalan tersebut.

Pasukan keselamatan telah menghabiskan masa berbulan-bulan untuk mempersiapkan acara itu, yang akan dihadiri kira-kira 100 ketua negara serta penonton yang ramai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram