BAGI penggemar sukan ekstrem, risiko keselamatan ketika melaksanakan aktiviti tersebut sememangnya merupakan sesuatu yang sudah diterima sebagai sebahagian daripada norma.
Ini kerana mereka tentunya sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis bahaya termasuk yang berupaya merisikokan nyawa mereka.
Demikianlah terjadi kepada sembilan orang penerjun udara yang berdepan dengan detik hampir meragut nyawa selepas pesawat ringan dinaiki bertembung dengan sebuah pesawat lain ketika aktiviti tersebut.
Kejadian yang berlaku pada sekitar 2013 di Lake Superior, Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) itu turut dirakam oleh kamera yang berada pada salah seorang penerjun terbabit.
Klip berkenaan merekodkan detik-detik cemas sebelum dua pesawat yang masing-masing membawa penerjun udara bertembung di udara.
Impak daripada perlanggaran tersebut memaksa kesemua sembilan penerjun udara dan juruterbang salah sebuah pesawat terbabit bertindak melompat keluar untuk menyelamatkan diri.
Ia selepas pesawat yang dipandunya itu terbakar kesan daripada pertembungan berkenaan.
Tangkap layar memaparkan salah sebuah pesawat yang bertembung dalam kejadian tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Penyamun Rohingya selamba pecah pintu depan, curi PS4 dan barang kemas di Gombak
Lebih ajaib, kesemua 11 individu yang berada di atas kedua-dua kenderaan udara itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan dengan mereka selamat mendarat.
Bagaimanapun, sebuah lagi pesawat yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kerosakan teruk dengan ia selamat mendarat di landasan.
Ketua Batalion Bomba Tertinggi Vern Johnson berkata, juruterbang utama dalam kejadian itu memaklumkan dia hanya mendengar bunyi dentuman kuat dengan cermin depannya pecah sebelum melompat keluar dari pesawat.
Menurut tenaga pengajar terjun udara, Mike Robinson, kedua-dua pesawat ringan itu bertembung betul-betul ketika kesemua penerjun sedang bersedia untuk melompat dalam formasi.
Katanya, dia tidak pasti punca yang menyebabkan berlakunya insiden terbabit.
"Kami melakukan (terjunan) ini sepanjang masa. Kami tidak tahu pasti apa yang berlaku sehingga menyebabkan kemalangan ini.
"Sungguh tak disangka kami hanya beberapa detik sebelum pesawat yang mengekori di belakang melanggar bahagian atas pesawat utama.
"Kemudiannya sedar-sedar kami dah terlibat kemalangan dengan kebakaran yang berlaku sementara sayap pesawat yang kami naiki terbelah dua," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram