Penduduk Segambut geram projek naik taraf jalan lambat siap


  • Massa
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Deric (enam dari kiri) bersama penduduk Segambut yang kecewa dengan kelewatan projek naik taraf jalan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. — WILLIAM GARY/The Star

PENDUDUK Segambut yang bosan dengan kelewatan projek menaik taraf jalan mahu ia disegerakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Projek menaik taraf jalan, yang bermula pada December 2021 dijadualkan siap pada Jun 2023 telah mengalami empat tarikh kelewatan, dengan jangkaan tarikh siap terbaharu ditetapkan pada 14 Mac.

Kerja menaik taraf sepanjang 4 kilometer (km) itu dibahagikan kepada empat fasa, dengan fasa satu dan fasa empat telah disiapkan.

Penduduk mendakwa fasa dua yang melibatkan dua laluan empat lorong sepanjang 700 meter termasuk penambahan lorong dari Taman SPPK Segambut ke Jalan Segambut Dalam, berjalan perlahan.

BACA LAGI: [VIDEO] Juruterbang maut terlibat nahas pesawat ringan Gabriel BK160TR dilantik bagi tujuan promosi — MOT

Timbalan Ketua PKR Segambut, Deric Teh berkata pada sidang media, beliau mendapati tarikh baharu ditampal menutupi tarikh lama pada papan tanda projek tersebut.

Menurutnya, beberapa tahun lepas, kawasan itu mengalami banjir selain terkesan dengan lockdown yang dianggap alasan kukuh terhadap kelewatan projek tersebut ketika itu.

"Sekarang tidak jelas mengapa projek itu terus tertangguh.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki warga emas maut tersepit, 2 lori bertembung di Cyberjaya

"Walaupun tarikh siap baharu diberikan, boleh dikatakan hampir tiada aktiviti pembinaan di tapak itu," kata Deric yang mahu penjelasan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Untuk rekod, ketika ini, lalu lintas biasanya sesak di persimpangan Jalan Segambut dan Jalan Segambut Dalam di hadapan kawasan komersial M Avenue.

Jalan Segambut Dalam menghubungkan kawasan itu ke Petaling Jaya dan Mont Kiara.

Dalam pada itu, Deric berkata, selalunya kira-kira 15 minit diambil untuk ke Petaling Jaya dari Segambut namun pada waktu puncak, ia boleh mengambil masa hingga sejam.

Beliau berkata, keadaan menjadi lebih rumit kerana berdekatan sebuah sekolah di Jalan Kiara 3 yang turut menyumbang kepada punca kesesakan itu.

"Ibu bapa meletakkan kereta dan menunggu anak-anak mereka di tepi jalan sekali gus menyempitkan lorong untuk pemandu lain," katanya.

Beliau mencadangkan agar pihak sekolah membenarkan ibu bapa menggunakan laluan masuk dari Jalan Kiara 5, sebagai alternatif mengurangkan kesesakan.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Sinar, John Rajamani, Bekas Pengerusi Pangsapuri Angsa Joginder Singh, Pengerusi Pangsapuri Nova 2 David Tang dan wakil dari Pangsapuri Nova 1 dan Taman Sri Bintang.

Dalam perkembangan sama, Rajamani berkata, DBKL perlu memantau kerja-kerja di tapak tersebut.

Joginder pula meminta DBKL untuk memberi penjelasan mengenai kelewatan yang kerap berlaku.

StarMetro menghubungi DBKL untuk mendapatkan komen tetapi masih belum menerima maklum balas. — The Star/DHARSHIKA KARUNA NITHI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram