KONFLIK Gaza-Israel kian meruncing apabila tiga anak yatim Palestin yang ditaja rakyat Malaysia, dilaporkan terkorban dalam serangan bom yang berlaku pada Selasa.
Ketiga-tiga remaja berusia 17 tahun itu adalah Abedallah Shikh Eid, Ali Ali Al Nashar dan Baker Mohammed Baker Al Nams.
Perkhabaran itu dikongsikan di laman Twitter Zulfadhli Zin dan disahkan oleh akaun MyCARE.
"Menerima berita sedih buat rakyat Malaysia. Tiga anak yatim dari Palestin yang ditaja Malaysia setiap bulan dan dijadikan anak angkat, telah pergi selamanya.
"Pihak @mycarehq dah maklumkan kepada keluarga angkat mereka di Malaysia, sama-sama kita doakan dan salam takziah," katanya.
Sementara itu, perkongsian terbaharu pada Rabu memaklumkan bahawa kediaman Pengurus MyCare, Dr Ziad Shehada musnah sepenuhnya akibat letupan bom yang berlaku.
"Rumah kami telah hancur sepenuhnya, syukur Al-Hamdulillah kami masih bernyawa," ciapnya di laman Twitter pada Selasa.
Untuk makluman, beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menguruskan bantuan rakyat Malaysia ke Gaza. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram