DISEBABKAN tidak mampu membayar bayaran yang dituntut oleh pihak ambulans di sebuah hospital, seorang bapa tiada pilihan selain membawa pulang mayat bayi berusia lima bulan dengan menaiki bas sendiri.
Bapa kepada bayi berkenaan, Asim Devasharma hanyalah pekerja asing yang kini menetap di kampung Dangipara di Bengal, Mustafanagar Grampanchayat, India.
Insiden itu difahamkan berlaku pada Sabtu apabila kedua-dua anak kembar Asim jatuh sakit.
Mereka pada mulanya dimasukkan ke Hospital Besar Negeri Kaliaganj tetapi kemudian dirujuk ke Hospital Kolej Perubatan Raiganj disebabkan keadaan semakin teruk.
Menurut sumber, kedua-dua anaknya dibawa pula ke Hospital Kolej Perubatan North Bengal untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, melihat keadaan kesihatan kembar terus merosot, isteri Asim pulang ke rumah bersama salah seorang bayi mereka pada Khamis, tetapi malangnya, seorang lagi bayi meninggal dunia ketika menjalani rawatan di hospital pada malam Sabtu.
Bapa yang sedang bersedih cuba mendapatkan ambulans untuk membawa mayat anak lelakinya ke rumah, namun terkejut apabila pemandu ambulans meminta Rs8,000 (RM437) untuk memberi khidmat berkenaan.
Asim yang tidak mempunyai pilihan lain terpaksa menaiki bas persendirian dari Siliguri Bengal ke Raiganj dan kemudian menaiki bas lain untuk sampai ke kampung halamannya di Kaliaganj.
Apabila sampai di persimpangan Vivekananda di Kaliaganj, Asim kemudian meminta bantuan untuk mendapatkan ambulans.
"Anak lelaki saya berusia lima bulan meninggal dunia malam tadi (Sabtu) selepas menerima rawatan selama enam hari, di mana saya membelanjakan Rs16,000 (RM875),” katanya.
“Saya ke sana untuk mengupah satu ambulans, namun dimaklumkan saya tidak dibenarkan membawa pulang mayat menggunakan ambulans kerana kemudahan tersebut hanya percuma untuk pesakit, bukan untuk membawa mayat," luahnya.
Penduduk kampung berkumpul untuk membantu Asim menanam bayinya yang meninggal dunia pada Sabtu.
Asim mendakwa, perjalanannya menaiki bas ke Kaliaganj di daerah Uttar Dinajpur dianggarkan sekitar 200 kilometer (km).
"Saya tidak memberitahu sesiapa (tentang mayat bayi) kerana bimbang diturunkan jika penumpang dan pekerja menyedarinya.
"Selepas turun di persimpangan Vivekananda di Kaliaganj, saya menghubungi kenalan, dia yang tolong mengaturkan ambulans," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram