[VIDEO] Terperangkap di puncak menara, Oyen nyaris hilang nyawa disambar burung lang


  • Benua
  • Khamis, 11 Mei 2023

Usaha menyelamat kucing berwarna oren itu turut diganggu oleh beberapa ekor burung lang yang terbang mengelilingi puncak menara telekomunikasi tersebut.

SEEKOR kucing berwarna oren diselamatkan daripada menjadi mangsa burung lang, selepas ia terperangkap di puncak sebuah menara telekomunikasi di Bengaluru, India.

Video dikongsikan pusat perlindungan dan menyelamat haiwan bandar tersebut, Charlie's Animal Rescue Centre menunjukkan sepasukan sukarelawan memanjat menara berkenaan bagi menyelamatkan si bulus comel itu.

Pada masa sama, beberapa ekor burung pemangsa juga dilihat sedang terbang berhampiran kucing tersebut dan menanti peluang menyerang haiwan berkenaan.

Menerusi hantaran tulisan di Instagramnya, pusat perlindungan itu berkata, "Kami benar-benar menghadapi kesukaran dalam usaha menyelamatkan kucing ini.

"Setiap saat adalah berharga dalam usaha menyelamat ini. Kehadiran burung helang nampaknya tidak membolehkan kami leka manakala kedudukan menara yang berada di tempat agak tinggi juga mencabar.

"Secara keseluruhannya, ia benar-benar menguji, tetapi kami bersyukur kerana ia adalah pengakhiran yang menggembirakan," tulis hantaran tersebut.

Sejak disiarkan, video tersebut mendapat perhatian tinggi di Instagram.

Menyanjung usaha dilakukan pusat perlindungan tersebut, pengguna sosial media rata-ratanya melahirkan penghargaan kepada sukarelawan terbabit.

Seorang warganet menulis, "pasukan anda melakukan kerja yang hebat"

"Seperti anda memerlukan perisai perlindungan di badan untuk menyelamat," tulis seorang lagi pengguna. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Oyen, burung lang, tular, Bengaluru, India, kucing