SUKAN SEA 2023 yang pertama kali dianjurkan di Kemboja ternyata menjadi bualan orang ramai susulan beberapa kontroversi yang melanda kejohanan dwitahunan itu.
Kejohanan terbesar di Asia Tenggara itu dibuka secara rasmi pada Jumaat (5 Mei) apabila kira-kira 6,210 atlet berkampung di Kemboja sehingga 17 Mei untuk bersaing dalam 584 acara, melibatkan 36 jenis sukan.
Walaupun begitu, beberapa acara sukan telah mula dipertandingkan sejak 29 April lalu dan salah satu daripadanya ialah bola sepak.
Daripada persediaan makanan atlet sehinggalah melibatkan venue kejohanan memberi gambaran bahawa Kemboja tidak bersedia untuk menganjurkan Sukan SEA.
Selain kontroversi melibatkan venue dan perkara asas atlet-atlet Kemboja yang menyertai Sukan SEA kali ini menarik perhatian ramai terutamanya sukan kriket, bola keranjang dan terbaru badminton serta hoki padang.
Kemboja didakwa import beberapa atlet luar dari Asia Tenggara untuk menyertai Sukan SEA sekali gus membolehkan negara itu mengutip seberapa banyak pingat emas.
Skuad kriket negara tewas dengan pasukan tuan rumah yang rata-ratanya dibarisi pemain India dan Pakistan. — Facebook/MSN
1. Kriket
Skuad kriket lelaki negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada tuan rumah Kemboja dalam aksi Final 50 Overs Sukan SEA 2023 pada Ahad.
Kemboja yang rata-ratanya dibarisi pemain import dari India dan Pakistan berjaya merampas pingat emas daripada skuad negara.
Malah kehadiran atlet import Kemboja ini membuatkan kapten kriket negara, Ahmad Faiz Mohammad Noor terkejut dengan kehadiran mereka.
"Kalau ikutkan, kita sudah bersiap sedia untuk menentang Kemboja.
"Tapi mereka keluarkan pemain-pemain baharu daripada India dan juga Pakistan yang kami pun terkejut jugalah. Jadi, kalau ikutkan, itu adalah di luar kawalan kami," katanya.
Barisan atlet bola keranjang pasukan Kemboja. — Agensi
2. Bola Keranjang
Pasukan bola keranjang lelaki Kemboja telah memenangi pingat emas dalam Sukan SEA 2023 selepas menewaskan Filipina 20-15 dalam bola keranjang 3×3 kategori lelaki baru-baru ini.
Namun yang menarik perhatian orang ramai ialah barisan atlet bola keranjang Kemboja yang rata-ratanya berasal dari Amerika Syarikat.
Malah kapten pasukan Kemboja, Brandon Peterson ialah salah seorang pemain profesional dalam liga bola keranjang di Amerika Syarikat.
Pemain-pemain Pakistan yang mewakili Kemboja dalam Sukan SEA kali ini. — Twitter/Fina Nasrom
3. Hoki
Tidak pelik untuk sukan hoki Kemboja juga menggunakan pemain import apabila sukan itu selalu didominasi oleh Malaysia.
Menerusi perkongisan video oleh wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom di Twitter, dia sempat berkongsi gelagat pasukan hoki Kemboja yang membantah keputusan pengadil.
"Kontroversi di padang hoki membabitkan Malaysia lawan Kemboja bertambah hangat.
"Kemboja dua kali protes perlawanan sebab tak puas hati dengan keputusan pengadil.
Cuma sekarang ini 'confuse' sikit Malaysia lawan Kemboja atau Pakistan ini?" soalnya di Twitter.
Zhoung Meng (bawah) ketika mewakili Kemboja dalam acara badminton. — Facebook/Vocket FC
4. Badminton
Sebelum ini kontroversi berlaku dalam acara berpasukan campuran badminton apabila beberapa negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura, sama sekali dilarang menyertai kejohanan itu.
Kemboja menyatakan, usaha ini adalah untuk memupuk semangat cintakan sukan badminton di kalangan negara negara yang lemah dalam sukan itu.
Namun tuan rumah juga memanipulasi peraturan naturalisasi, dengan menggunakan atlet yang sepenuhnya import untuk mewakili mereka dalam acara badminton.
Terbaharu, Kemboja disyaki menggunakan khidmat pemain China yang merupakan bekas naib juara remaja dunia 2019, Zhoung Meng dalam acara badminton berpasukan Sukan SEA 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram