Pesilat kembar siam dari Kedah mahu kilauan peringkat dunia lepas sumbang emas di Sukan SEA


  • Podium
  • Isnin, 08 Mei 2023

Danial Azrol (kiri) dan Danial Azray memperagakan pingat emas yang dibawa pulang mereka dalam kategori seni silat.

ATLET silat yang juga merupakan kembar seiras, Mohd Danial Azrol Noorazizan dan Mohd Danial Azray Noorazizan berjaya menghadiahkan pingat emas pertama negara dalam sukan itu pada Sukan SEA 2023.

Dalam perhintungan dengan pasangan kembar yang mewakili Filipina, Azrol dan Azray menerima 9.945 mata, sekali gus mengatasi Alfau Jan Esmael Abad dan Almohaidib Esmael Abad dalam kategori silat seni.

Azrol, yang merupakan adik dengan perbezaan masa kelahiran selama enam minit, mengakui keterujaan dalam pencapaian itu dalam kemunculan sulungnya di temasya sukan dwitahunan berkenaan.

"Kami cukup gembira untuk memenangi pingat emas pertama kami dalam Sukan SEA. Saya lebih muda berbanding Azray dan kami mempunyai kesefahaman yang baik.

"Ia memberikan kami satu kelebihan kerana kami perlu mempunyai hubungan rapat untuk berjaya. Kami juga menerima tunjuk ajar yang baik daripada jurulatih kami, Amin Ibrahim dan Mohd Fauzi Khalid," katanya.

Jelas atlet berusia 21 tahun itu, perasaan gugup masih dirasakan, terutamanya di peringkat akhir, namun dorongan untuk membalas jasa jurulatih mengurangkan tekanan berkenaan.

"Berpeluang mewakili negara seolah-olah mimpi yang akhirnya direalisasikan buat saya. Kami mula berlatih dalam sukan silat sejak kami berusia empat tahun selepas mengetahui akan sukan itu di kampung kami.

"Saya juga tertarik untuk mempelajari sukan ini selepas mendengar cerita rakyat mengenai pahlawan Melayu, terutamanya Hang Tuah," kata Azrol.

Azrol yang berasal dari Pendang, Kedah juga meletakkan satu lagi harapan tinggi dalam kariernya apabila berharap untuk beraksi di pentas Kejohanan Dunia Silat.

"Saya tidak terfikir untuk muncul juara ketika ini kerana masih terdapat jalan yang panjang untuk kami tempuhi dengan Azray.

"Tetapi, saya mahu beraksi dengan lebih baik di sana. Ia juga penting buat kami untuk terus menambah baik kedudukan kami kerana langkah pertama sudah diambil," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram