Simpati nasib Syazwan Andik, 2 tonggak HM pernah lalui episod duka kehilangan cahaya mata


  • Podium
  • Ahad, 14 Mei 2023

Jenazah anak Syazwan yang meninggal dunia pada Sabtu dikebumikan pada hari sama. — Instagram

TATKALA saingan Liga Super 2023 kembali merancakkan suasana, dunia bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita sedih apabila pemain Sri Pahang FC, Syazwan Andik kehilangan bayi sulungnya pada Sabtu.

Pemain pinjaman Johor Darul Takzim (JDT) itu dihujani dengan ucapan takziah daripada rakan sepasukannya di kelab Harimau Selatan.

Selain itu, pemain-pemain Sri Pahang FC juga bersolidariti terhadap nasib yang menimpa Syazwan dan pasangannya, Aina Shuada Faizal.

"Salam takziah buat Syazwan dan Aina, semoga kuat dan tabah di atas ujian ini. Al-fatihah, anak syurga," demikian hantaran hiba daripada tonggak pertahanan Tok Gajah, Fadhli Shas di Instagram Story.

photo1684055359

Ucapan takziah daripada Fadhli Shas. — Instagram @fadhli_shas27

Seperti cubit paha kanan, paha kiri pun terasa sakit juga, dua pemain negara yang pernah kehilangan anak masing-masing turut menzahirkan rasa simpati terhadap kehilangan itu.

Sebelum ini, Muhammad Syafiq Ahmad dan Muhammad Syahmi Safari juga pernah melalui episod duka apabila mereka kehilangan bayi masing-masing.

Menyingkap kembali peristiwa itu, Syafiq dan isterinya, Nur Amalina Norain kehilangan anak kedua, Muhammad Aisy Saqeef yang ketika itu berusia 22 hari dalam kemalangan tragis di Kilometer 163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Disember 2020.

81607247980_kebumisyafiqahmad

Suasana pilu ketika Syafiq mendukung jenazah anaknya yang terkorban dalam nahas jalan raya pada 2020. — Bernama

Isterinya mengalami kecederaan parah manakala anak sulung mereka, Aaira Nur Saffiyya yang ketika itu berusia tiga tahun hanya cedera ringan.

Selepas hampir empat tahun berlalu, pasangan itu kini dikurniakan seorang lagi bayi lelaki dinamakan Muhammad Afeef Saqeef.

Sementara itu, Syahmi pula dilaporkan kehilangan bayinya ketika dalam kandungan pada 14 Mei 2021, yang menandakan sudah genap dua tahun peristiwa pahit itu berlaku.

syafiq baby

Dua orang anak Syafiq iaitu Muhammad Afeef Saqeef dan Aaira Nur Saffiyya. — Instagram @amalinanorain

Syahmi dilaporkan meluahkan kesedihannya dengan memuat naik beberapa ‘story’ di Instagram mengenai pemergian anaknya yang dinamakan Selma Rose Nayla.

“Masa bayi dalam perut, dia tak ada bagi sakit dekat mommy dia pun. Masa nak bersalin baru rasa sakit kejap. Itupun tengah push baby dah keluar separuh kita boleh tertidur dua kali sebab penat tak reti nak push lagi dah.

"Alhamdullilah 14 Mei 2021, 10.27 pm, baby dah selamat keluar. Tapi baby dah main di taman syurga," luahnya.

photo1684055108

Syahmi kehilangan anak perempuannya pada 14 Mei 2021. — Instagram

Seperti Syafiq, ALLAH turut menghadiahkan Syahmi dan pasangannya dengan zuriat kembar tiga apabila isterinya selamat melahirkan bayi tersebut pada 8 Mac 2022.

Dengan apa yang berlaku, yakinilah bahawa pasti ada hikmah yang tersirat buat mereka sekeluarga.

Didoakan semoga Syazwan dan isterinya tabah dan kuat mengharungi ujian berat itu serta sentiasa reda dengan ketentuan ALLAH.

syahmi baby2

ALLAH menghadiahkan Syahmi dan isteri dengan zuriat kembar tiga. — Instagram @syahmisafari20

Sesungguhnya orang yang menerima takdir dan reda apabila insan kesayangannya diambil oleh ALLAH, bahkan mereka mengharapkan pahala atas musibah tersebut, maka salah satu pahala yang dijanjikan kepada ibu bapa berkenaan adalah ALLAH membina rumah untuk mereka di syurga bernama Baitul Hamdi.

Semoga ALLAH turut menggantikan kehilangan tersebut dengan sesuatu yang lebih baik buat Syazwan sekeluarga.

Untuk rekod, Syazwan mendirikan rumah tangga bersama Aina Syuada di Rumah Tamu Datin Hilijah, Kuala Lumpur pada 1 Januari 2021.

Pemain pertahanan itu menyertai Sri Pahang secara pinjaman dari JDT bagi musim 2023 dan bersama JDT II sejak 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram