Man United buru 'kembar' Haaland selesaikan masalah bahagian serangan


  • Podium
  • Selasa, 28 Mac 2023

Hojlund mencetak 14 gol dan lima bantuan dalam 33 penampilan bersama Atalanta.  — Agensi

PENYOKONG Manchester United sedia maklum bahawa pasukan tersebut kini menghadapi masalah di bahagian serangan dan misi mencari penyerang perlu segera dilakukan berikutan jendela perpindahan musim panas Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin menghampiri.

Pengendali United, Erik ten Hag membuat keutamaan untuk menambah tenaga tambahan di barisan hadapannya, setelah tidak boleh berharap kepada Anthony Martial dan terlalu bergantung pada Marcus Rashford.

Difahamkan terdapat dua calon utama untuk mengetuai jentera serangan iaitu Harry Kane dan Victor Osimhen namun tonggak yang berkualiti seperti kedua-dua pemain itu datang dengan 'tag harga' mahal.

United masih tidak pernah membelanjakan lebih daripada £89 juta (RM482 juta) untuk seorang pemain dan kemungkinan besar jika skuad The Red Devils sanggup mengeluarkan duit, penyerang bertaraf dunia yang boleh menyaingi pemain seperti Erling Haaland akan diperlukan.

Skuad The Red Devils bukan sahaja akan menandatangani penyerang terbaik pada penghujung musim, tetapi mereka juga akan menandatangani seorang yang mampu berkembang menjadi penyerang elit untuk bahagian terbaik dekad ini juga.

Bagaimanapun, adalah lebih bijak jika United untuk mengambil risiko ke atas bakat yang kurang dikenali namun masih boleh membantu mereka dalam jangka panjang.

Calon yang sempurna untuk pasukan itu adalah Rasmus Hojlund iaitu pemain berusia 20 tahun yang menikmati musim debut dengan jayanya di kelab Itali, Atalanta dengan jaringan 14 gol dan lima bantuan dalam 33 penampilan.

Hojlund menjadi tajuk utama minggu lalu apabila dia menjaringkan hatrik dalam permulaan pertamanya untuk Denmark dalam kelayakan Kejohanan Eropah menentang Finland dan dua lagi dalam kekalahan mengejut kepada Kazakhstan pada Ahad.

Namun begitu, kebimbangan nyata adalah apabila Hojlund masih muda dan United perlu meyakinkan Atalanta untuk menjualnya pada musim panas ini, selain perlu berebut dengan kelab lain.

Sudah ada laporan bahawa kelab gergasi Itali, Napoli mungkin berminat untuk menandatangani Hojlund pada musim panas ini sekiranya mereka menjual Victor Osimhen.

Di sisi lain, terdapat satu kelebihan sedikit apabila Hojlund adalah peminat United.

"Sekarang anda bertanya, saya tidak akan menyembunyikan fakta bahawa saya peminat besar Manchester United.

"Jadi secara peribadi, ia akan menjadi salah satu perkara terbesar bagi saya, tetapi sudah tentu itu tidak bermakna saya akan menolak kelab besar lain jika tawaran datang pada satu ketika," katanya.

Hojlund dikatakan sebagau kembar Haaland dari segi bentuk fizikal dan kepantasannya, walaupun pada masa ini dia tidak mempunyai penyudah klinikal yang konsisten seperti pemain Manchester City itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram