[VIDEO] Gara-gara hutang RM1.3 juta, pegawai polis tembak mati pemberi pinjam wang


  • Tular
  • Sabtu, 13 Mei 2023

Tangkap layar video pegawai polis menembak mati seorang pemberi pinjam wang di Uganda pada Khamis.

SEORANG pegawai polis kini dalam buruan susulan tindakannya menembak mati seorang pemberi pinjam wang di Raja Chambers di Kampala, Uganda pada Khamis.

Video yang dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu dikongsikan di Twitter pada Jumaat.

Ekoran itu, pihak polis di Kampala ketika ini dilaporkan sedang memburu pegawai tersebut yang dikenali sebagai Polis Konstabel (PC) Ivan Wabwire.

Jurucakap polis Metropolitan Kampala, Patrick Onyango memaklumkan, mangsa tembakan dalam kejadian yang berlaku pukul 1 petang itu dikenali sebagai Uttam Bhandari, warga India dan juga merupakan pengarah TFS Financial Services.

“Ivan pertama kali datang kelmarin (Khamis) dan bertemu pengarah perkhidmatan kewangan TFS untuk mengesahkan jumlah hutangnya kepada syarikat tersebut.

“Pegawai polis itu dilaporkan telah membayar dua pinjaman sejak 2020. Pinjaman pertama dipotong terus daripada gajinya manakala yang kedua tidak.

“Dia hanya boleh datang dan membayar setiap kali dia mendapat wang untuk pinjaman kedua. Mereka mengira dan memberitahunya dia berhutang dengan syarikat itu sebanyak Shs2.1 juta (RM1.3 juta)," jelasnya.

Tambah Patrick, apabila polis berkenaan mengetahui jumlah wang itu, dia menjadi marah dan pertengkaran mula berlaku.

"Pegawai polis itu mula menembak kamera CCTV di dalam pejabat dan semua orang yang berada di dalam bergegas keluar.

“Kami masih tidak tahu apa yang berlaku selepas itu. Kami telah memanggil pasukan CCTV untuk datang dan mengambil rakaman berkenaan serta membuat analisis," katanya.

Patrick berkata, selepas tembakan itu, Ivan melompat menaiki basikal dan bergegas ke Balai Polis Pusat di Kampala dan meneruskan kerjanya seperti biasa.

“Uganda adalah sangat kecil, jika dia telah melakukan jenayah, dia akan ditangkap pada bila-bila masa. Amat malang melihat pegawai berkaliber sepertinya bertindak menembak dan bukannya menyelesaikan perkara itu secara baik," katanya.

Sementara itu, mayat Bhandari dihantar ke bilik mayat bandar Mulago ketika siasatan diteruskan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram