SELAIN memiliki plot penceritaan dan lakonan mantap, terdapat beberapa perkara ‘rahsia’ turut diselitkan dalam filem.
Perkara itu bertujuan untuk mempengaruhi minda manusia secara psikologi tanpa sedar.
Sebilangannya dikatakan mempunyai maksud tersendiri tetapi ada juga berlaku secara tidak sengaja.
Berikut antara filem antarabangsa yang mempunyai mesej tersembungi yang boleh dirungkai kebenarannya oleh penonton.
I Am Legend
Filem ini merupakan sebuah karya tentang apa yang berlaku selepas dilanda malapetaka dahsyat atau apocalypse.
Diarahkan oleh Francis Lawrence pada 2007, filem ini dibintangi oleh aktor Will Smith dan menceritakan tentang seorang saintis bernama Robert Neville.
Dia terselamat daripada satu wabak buatan manusia yang ingin mengubah manusia untuk menjadi mutan.
Terdapat satu babak dalam filem yang menunjukkan Neville berjalan di tengah bandar dan terpapar papan iklan menunjukkan logo Batman vs Superman.
Difahamkan filem tersebut dihasilkan 10 tahun kemudian iaitu 2017.
Pengarah filem terbabit mengatakan perkara itu hanya satu gurauan, tetapi difahamkan dia sebenarnya diupah untuk memasukkan logo tersebut sebagai rangka promosi awal filem berkenaan yang dikatakan akan ditayangkan dalam tempoh masa terdekat, namun perkara sebaliknya berlaku.
Psycho
Filem ini menceritakan seorang lelaki yang memiliki gangguan jiwa iaitu gangguan personaliti.
Filem ini dikatakan terhasil daripada kisah pembunuh bersiri bernama Ed Gein dan diarahkan Alfred Hitchcock.
Watak utama filem ini, Norman Bates membunuh ibunya, dan beberapa individu lain. Mayat mangsa akan disimpan dan dijaga seperti individu masih hidup. Bates kemudian mewujudkan personaliti ibunya dalam diri dan akan berubah apabila bertemu dengan wanita baik.
Bates kemudian akan memakai pakaian wanita dan membunuh mangsanya.
Pada pengakhiran cerita, ketika Bates dalam tahanan polis, wajahnya secara tiba-tiba berubah kepada wajah ibunya yang sudah mereput.
Bagaimanapun penonton mengatakan babak itu hanya dapat dilihat pada tayangan tertentu.
Disebabkan babak itu tidak terjadi dengan kerap, maka penonton saling tertanya-tanya dan berasa seram selain menonton filem terbabit beberapa kali untuk mendapatkan kepastian.
Fight Club
Filem yang ditayangkan pada tahun 1999 dibintangi oleh Edward Norton dan Brad Pitt.
Diarahkan oleh David Fincher, filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki, The Narrator yang bosan dengan kerjayanya. Dia kemudian bertemu dengan jurujual sabun dan seterusnya terlibat dengan aktiviti pergaduhan haram.
Mesej rahsia yang dipaparkan dalam filem ini ditunjukkan di telefon awam.
Di telefon itu menunjukkan tiada panggilan masuk, tetapi tiba-tiba telefon itu berdering.
Babak itu sebenarnya menjadi kunci kepada identiti watak Tyler yang sebenarnya hanya ilusi The Narrator.
Irreversible
Pengarah filem ini, Gaspar Noe menggunakan kaedah bunyi bagi mempengaruhi emosi penonton sekali gus mewujudkan perasaan tegang.
Diterbitkan pada 2002, terdadapat satu babak yang mempamerkan aksi pergaduhan di kelab malam, pengarah menggunakan latar belakang frekuensi yang sangat rendah sehinggakan tidak dapat didengari dengan jelas. Namun, frekuensi itu mampu menimbulkan rasa loya dan tidak senang.
Situasi itu akan membuatkan penonton berasa cemas dan tidak senang duduk ketika menonton filem berkenaan sekali gus menjadi mesej tersembunyi yang kekal misteri sehingga kini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram