[VIDEO] 'Ingat pemandu mabuk', Toyota Vios terbabas masuk semak dipandu budak 6 tahun di Langkawi


  • Tular
  • Rabu, 10 Mei 2023

Tangkap layar memaparkan kemalangan yang dipandu oleh seorang budak lelaki di Kampung Titi Cawang, Langkawi, Kedah.

PENDUDUK Kampung Titi Cawang, Langkawi, Kedah pada Selasa digemparkan dengan kejadian kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta dipandu seorang kanak-kanak.

Kejadian itu berjaya dirakam oleh orang awam dan videonya tular di media sosial pada Rabu.

Lebih mengejutkan, kereta tersebut dipercayai dipandu oleh seorang budak lelaki berusia enam tahun.

Menerusi salah satu video yang dimuat naik aplikasi Telegram Info Semasa Official, orang ramai dilihat mengerumuni kenderaan jenis Toyota Vios warna putih tersebut yang terbabas ke kawasan semak samun.

Video tersebut turut memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berada di bahagian pemandu kereta berkenaan dalam keadaan selamat.

Kanak-kanak itu juga dilihat berada dalam keadaan tenang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Turut kedengaran seorang lelaki bertanyakan beberapa soalan untuk memastikan keadaannya.

"Hang (awak) okay? Mana keluarga awak? Kami ingat pemandu mabuk tadi," tanya seorang lelaki.

"Saya tekan, kereta berjalan," jawab kanak-kanak lelaki berkenaan.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan orang awam, Toyota Vios tersebut dipandu dalam keadaan berbahaya sebelum terbabas ke tepi jalan.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada waris budak lelaki tersebut dan pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram