Ramai budak-budak umur 12 tahun dah pandai hisap vape, ini membimbangkan - CAP


  • Massa
  • Selasa, 25 Apr 2023

200 daripada 300 kanak-kanak ditemukan mencuba vape dan e-rokok.

USIA remaja adalah zaman yang paling mencabar kerana mempunyai sikap ingin mencuba dan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya untuk melakukan perkara yang salah di sisi undang-undang negara.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan bahawa sebilangan besar kanak-kanak mencuba vape dan e-rokok kepunyaan bapa mereka.

Hasil soal selidik CAP mendapati kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun mengakui bahawa mereka mencuba vape dan e-rokok bapa semasa berada di rumah atau dalam kereta.

Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis, NV Subbarow berkata, pengakuan itu didedah oleh kanak-kanak semasa program kesedaran merokok, vape dan penggunaan e-rokok yang dijalankan CAP di beberapa sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang.

Seramai 200 daripada 300 kanak-kanak yang ditemukan CAP semasa program tanpa nikotin bagi kanak-kanak mengaku bahawa mereka mengambil vape dua kali seminggu.

Sebenarnya mereka bukan perokok dan murid mengaku ia adalah cara mula mereka mencuba vape dan e-rokok berkenaan kerana desakan daripada adik-beradik lelaki.

Soal selidik itu juga mendapati bahawa bapa dan abang kepada kanak-kanak berkenaan kerap menggunakan produk tersebut sama ada ketika berada di rumah atau semasa memandu.

"Bapa atau abang akan memberi gajet vape kepada mereka yang duduk di tempat penumpang ketika berada di dalam kereta dan akan menawarkan vape ketika berada di rumah dengan mengatakan ia hanyalah jus buah," kongsinya.

Hal itu berterusan sehingga kanak-kanak tersebut berani untuk menghisap vape apabila ibu bapa tiada ketika berada di rumah kerana menganggap ia diperbuat daripada buah-buahan atau gula-gula kerana bau itu.

Sebilangan besar kanak-kanak telah mengakui yang mereka tidak membeli sebarang alatan vape namun tertarik akan jus cecair vape terutama berperisa buah-buahan yang ditinggalkan di rumah atau di dalam kereta.

Sehubungan itu,CAP menggesa pentadbiran sekolah membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti CAP bertemu dengan pelajar bagi memberi kesedaran mengenai bahaya merokok, vape, e-rokok dan jus yang mengandungi nikotin.

"CAP bimbang jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak seawal lapan tahun dan pelajar sekolah menengah akan ketagih vape.

"Batang berwarna-warni yang berperisa manis menarik minat kanak-kanak malah kartrij vape mempunyai nama dan perisa yang menjadikannya bunyi seperti gula-gula, seperti coklat pudina, mangga dan titisan limau beku," katanya.

Menerusi laporan WHO, terdapat 16,000 jenis perisa vape di pasaran yang mengandungi bahan kimia yang menjejaskan kesihatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram