KECOH di laman media apabila seorang budak lelaki dirakam sedang memandu kereta di sebuah jalan raya dekat Indonesia baru-baru ini.
Kanak-kanak itu difahamkan sedang menjalani kelas lesen memandu kereta dan dilatih oleh seorang tenaga pengajar yang mempunyai sebuah institut latihan kursus kereta (LPK).
Perkongsian video itu menerima kecaman ramai susulan warganet yang mempersoalkan had umur minimum bagi seseorang individu itu sebelum boleh diberikan lesen memandu.
Tidak terhenti di situ, beberapa pihak turut menyentuh soal denda dan undang-undang polis yang perlu dikenakan terhadap tenaga pengajar terbabit.
Namun, ketika disoal isu undang-undang di laman Twitter, si pelaku tenang menjawab bahawa pihak polis merupakan rakan karibnya.
Tangkap layar komen diberikan oleh tenaga pengajar yang bertanggungjawab dalam video tular tersebut.
Dalam pada itu, Pengarah Latihan Perunding Pertahanan Keselamatan Indonesia, Sony Susmana berkata, sekolah memandu kini semakin cenderung melanggar peraturan, walaupun undang-undang jelas mengatakan bahawa terdapat had umur minimum untuk seseorang itu mula memandu.
“Sekolah memandu mesti ada had umur dan standard kemahiran, apa yang diajar mesti sama dengan apa yang polis tentukan kerana usia seseorang itu mempengaruhi emosi pemandu ketika di atas jalan raya," katanya.
Tambahnya, manusia secara umumnya mempunyai kebolehan memandu apabila berusia 17 ke atas namun ia masih belum memadai untuk berhadapan dengan tekanan di atas jalan raya.
“Ini bermakna, mental kanak-kanak itu masih belum stabil, kerana masih ada perasaan takut, jahil dan pengetahuan yang terhad tentang bahaya di jalan raya,” katanya.
Anak-anak muda masih belum bersedia untuk memandu, kerana mereka masih kurang pengetahuan dan kekurangan sikap saling hormat-menghormati di jalanan.
Justeru, selain melanggar peraturan memandu pada usia yang masih belum mencukupi, mereka juga tidak dibenarkan kerana kesediaan mental yang masih di paras rendah.
Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung isu tersebut setakat ini dan rakaman video itu telah meraih lebih 10,000 jumlah tontonan di laman Instagram. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram