Budak patah riuk terkena tayar treler tercabut ketika kayuh basikal di Kg Buntut Pulau


  • 112
  • Sabtu, 29 Apr 2023

Seorang budak lelaki berbasikal dilaporkan cedera parah akibat terkena tayar lori treler di Kampung Buntut Pulau, Temerloh, Pahang. — Facebook/IPD Temerloh

SEORANG budak lelaki mengalami kecederaan parah selepas terkena tayar treler yang tercabut di Kilometer 3 Jalan Triang-Temerloh dekat Kampung Buntut Pulau, Temerloh, Pahang pada Jumaat.

Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.24 pagi itu melibatkan seorang budak berusia 12 tahun yang sedang mengayuh basikal di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, hasil siasatan mendapati dua biji tayar treler jenis Nissan yang membawa muatan sawit dipandu lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Triang itu telah tercabut.

Menurutnya, tayar berkenaan terlebih dahulu telah merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan jenis Honda HRV yang diletakkan di bahu jalan sebelah kiri menghala ke Triang.

"Sebiji lagi tayar terkena seorang kanak-kanak lelaki yang sedang mengayuh basikal menyebabkan kecederaan di bahagian kepala, patah bahu kiri dan patah kaki kiri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar beliau, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Temerloh dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Mohd Azhar menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya peka dan lebih berhati-hati semasa memandu serta mematuhi segala peraturan dan papan tanda jalan raya.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Cawangan Trafik IPD Temerloh di talian 09-2716086," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram