Wanita jemur anak tengah panas sampai mati gara-gara ikut cakap teman lelaki amal diet 'makan' cahaya matahari


  • Benua
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Wanita itu dan teman lelakinya ditahan pihak berkuasa selepas bayi mereka meninggal dunia. — Agensi

POLIS menahan seorang wanita kerana menjemur bayinya di bawah sinar matahari sehingga meninggal dunia akibat kebuluran.

Oxana Mironova, 33, melakukan perkara itu bagi menggantikan susu dengan cahaya matahari sebagai makanan kepada anaknya.

Difahamkan, wanita dari Rusia itu hanya mengikut arahan teman lelakinya, yang juga bekerja sebagai jurulatih gaya hidup.

Pasangannya, Maxim Lyutyi, 43, ingin membesarkan bayi yang baru lahir itu dengan gaya hidup prana-diet, yang mana seseorang tidak boleh makan atau minum untuk tempoh lama dan hanya bergantung kepada cahaya matahari untuk hidup.

Lyutyi dikenali sebagai pemakan makanan mentah radikal dan ditahan secara berasingan kerana menentang pihak berkuasa.

Dia ditahan selama dua bulan atas tuduhan melakukan seksaan ke atas kanak-kanak.

Lelaki tersebut turut didakwa menghalang teman wanitanya daripada menyusukan bayi itu.

Namun, Mironova tetap melakukannya secara senyap-senyap ketika Lyutyi tiada di rumah.

template - 2023-03-24T125443.350

Mironova (kanan) didakwa berasa gentar dengan teman lelakinya yang dipercayai mengamalkan pemujaan. — Agensi

Pada masa sama, Mironova ditahan atas tuduhan kecuaian menjaga anak, namun teman lelakinya tetap menyalahkannya dengan mendakwa wanita itu melakukan pengabaian.

Ibu wanita itu, Galina mendakwa bahawa Lyutyi terlibat dalam beberapa jenis pemujaan.

"Saya sentiasa percaya dia sedang melakukan pemujaan.

"Ini semua salah dia. Dialah yang melarang memberi makanan kepada anak itu," katanya.

Seorang lagi saudaranya berkata: "Wanita itu memberitahu saya bahawa dia takut kepada teman lelakinya. Dia sudah beberapa kali mahu meninggalkan lelaki itu tetapi dihalang. Lelaki itu hanya mahu membesarkan anak yang mahu makan cahaya matahari."

Ujar sepupu Mironova: "Dia memaksanya untuk tidak memberi makan kepada bayi itu. Teman lelakinya percaya bahawa matahari sedang menyusukan bayi tersebut. Wanita itu diam-diam menyusukan anaknya tetapi sangat takut dengan lelaki berkenaan. Bayi itu memerlukan susu ibunya."

Sebelum ini, Mironova melahirkan bayi itu di rumah kerana teman lelakinya enggan membenarkannya bersalin di hospital.

Ketika bayi itu tenat, mereka akhirnya memutuskan untuk membawa anak mereka yang kurus kering tersebut mendapatkan rawatan di hospital.

Namun, tindakan mereka sudah terlambat kerana bayi itu meninggal dunia dalam perjalanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram