[VIDEO] Kes murid maut digilis, polis buru suspek pukul pemandu treler


  • 112
  • Khamis, 23 Mac 2023

Tangkap layar video tular menunjukkan pemandu treler berkenaan dipukul sehingga cedera oleh beberapa individu selepas kejadian kemalangan di Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor pada Rabu.

SEORANG pemandu lori treler cedera dibelasah orang ramai susulan kemalangan maut membabitkan seorang murid perempuan yang membonceng motosikal bersama seorang wanita dan adik lelakinya di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan di Balai Polis Pandamaran daripada pemandu berkenaan pada pukul 8.14 malam semalam yang menyatakan dipukul pada kira-kira pukul 11.30 pagi selepas kemalangan berkenaan.

Beliau memaklumkan semasa kejadian, pemandu tempatan berusia 36 tahun itu sedang memandu sebuah lori kontena bermuatan peralatan membuat paip, di Jalan Telok Gong sebelum kemalangan berlaku.

"Semasa melintas simpang Jalan Bawal, Telok Gong, secara tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang wanita, bersama kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun dan lelaki berumur tujuh tahun, keluar dari persimpangan jalan lalu hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya.

"Kanak-kanak perempuan tergilis oleh roda tayar belakang lori kontena berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Penunggang dan pembonceng mengalami kecederan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang," katanya, dalam kenyataan pada Khamis.

Cha berkata setelah kemalangan berlaku, sekumpulan lelaki berkumpul di lokasi kejadian dan bertindak memukul pemandu lori hingga luka di pipi kanan, lebam mata, sakit di seluruh anggota badan selain memecahkan cermin hadapan lori tersebut.

Beliau berkata pemandu lori kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Klang) Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rusuhan serta mendatangkan kecederaan dan kesalahan khianat terhadap harta benda.

Katanya, polis masih meneruskan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terbabit.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek yang terlibat diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03- 33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pemandu, cedera, belasah, motsikal, maut, kemalangan