'Biarkan menangis, lepas tenang baru pujuk', ibu 2 anak kongsi cara atasi anak tantrum


  • Sihat
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Tantrum boleh berlaku tidak kira tempat kanak-kanak berada.

TANTRUM adalah sesuatu yang normal tetapi mencabar kesabaran ibu bapa. Tantrum boleh berlaku dalam bentuk kemarahan, kekecewaan dan tingkah laku yang mencabar. Kanak-kanak boleh menjerit, menangis, menendang, memecahkan barang-barang, berkelakuan ganas dan paling teruk adalah menahan nafas mereka.

Biasanya, kanak-kanak yang berumur lebih kurang dua tahun akan menguji had kesabaran ibu bapa. Perkara itu berlaku apabila mereka berasa kecewa kerana tidak dapat memiliki apa yang diinginkan.

Kanak-kanak menunjukkan kekecewaan dan kemarahan dengan menangis, memukul dan menjerit kerana belum mempunyai kemahiran untuk meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam cara yang lain.

WhatsApp Image 2023-03-23 at 13.15.58 (1)

Tantrum tidak boleh dimanjakan oleh ibu bapa agar anak tahu cara untuk mengendalikannya sendiri.

Namun begitu, terdapat beberapa cara yang boleh digunakan dalam mengendalikan kanak-kanak dengan tantrum antaranya pastikan anak anda selamat, jangan hukum anak anda, jangan berikan pengajaran dan memastikan ibu bapa sentiasa tenang.

Jangan menghukum kanak-kanak tantrum dengan menjerit atau memukul kerana ia boleh menyebabkan perkara itu menjadi lebih teruk dalam jangka masa pendek dan tingkah laku tantrum kekal dalam masa yang panjang.

Di samping itu, terdapat juga cara jika anak anda tantrum di rumah iaitu ibu bapa perlu tenang, bawa anak anda ke tempat yang selamat untuk dibiarkan bersendirian dan boleh duduk berhampiran dengannya tetapi jangan berikan sebarang tindak balas terhadapnya.

Ketika berada di tempat awam, ibu bapa dinasihatkan untuk membawa anak anda ke tempat yang sesuai dan privasi iaitu dalam kereta. Ibu bapa hanya perlu duduk berhampiran tanpa memberi sebarang tindak balas dan apabila tantrum reda, waktu itu adalah sesuai untuk anda melayani anak anda.

Menerusi pengalaman seorang suri rumah yang bernama Jallieny Jallius berkata, anaknya pernah mengalami tantrum kerana tidak dapat memiliki sesuatu yang diinginkannya. Namun, dia hanya membiarkan sahaja anak sulungnya itu.

"Bagi saya, cara untuk mengatasi tantrum bila berlaku ialah membiarkan sahaja dulu dalam beberapa minit dan apabila keadaan tenang, saya akan peluk dan cakap baik-baik walaupun tahu anak masih marah," kata ibu dua anak itu.

Antara faktor yang selalu tercetusnya tantrum itu adalah apabila tidak mendapat sesuatu yang diingini seperti telefon bimbit atau melarang pergi ke tempat yang berbahaya antaranya sungai.

"Tindakan awal yang saya lakukan ialah membiarkan dahulu anak menangis atau berteriak,saya tidak marah dan tengking kerana perkara itu biasanya membuatkan anak menjadi lebih manja.

"Selepas sahaja dia tenang sedikit, ketika itu saya akan peluk dan menenangkan emosi dia yang belum stabil," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, Jallieny,28, juga berkongsi bahawa tantrum yang biasanya berlaku terhadap anaknya yang berusia dua tahun itu adalah apabila tidak mendapat apa yang diingini terutamanya telefon bimbit.

Dia yang berasal dari Keningau, Sabah itu bersyukur kerana tantrum tersebut tidak memerlukan rawatan lanjut kerana ia hanya tantrum biasa dilalui oleh kana-kanak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram