[VIDEO] Penumpang pesawat gelisah bermandi peluh, lebih sejam menahan bahang di udara


  • Benua
  • Khamis, 23 Mac 2023

Tangkap layar penumpang Super Air Jet bermandi peluh kerana kepanasan. — Agensi

SELAIN menggunakan perkhidmatan pengangkutan darat, ramai orang lebih memilih menggunakan pengangkutan udara seperti kapal terbang kerana ia lebih cepat serta selesa untuk ke destinasi pilihan.

Namun nasib tidak menyebelahi penumpang penerbangan Super Air Jet dari Bali ke Jakarta, Indonesia selepas pesawat yang penuh dengan penumpang itu mengalami masalah penghawa dingin yang tidak berfungsi pada Rabu.

Melalui video yang dimuat naik oleh salah seorang penumpang syarikat penerbangan tersebut, @velypuspa menceritakan pengalamannya dibiarkan kepanasan dalam kapal terbang disebabkan penghawa dingin rosak.

"Bayangkan berada dalam pesawat yang mengalami masalah penghawa dingin selama sejam 50 minit di atas udara.

"Pesawat pula dipenuhi dengan penumpang dengan udara yang tidak mencukupi dan panas! Ada ibu mengandung, kanak-kanak dan bayi!

"Malah ada yang terpaksa membuka pelitup muka dan baju kerana kepanasan," tulisnya.

Dalam video tersebut juga memaparkan seorang wanita dan anaknya sudah bermandi peluh ekoran daripada kepanasan. Turut kelihatan para penumpang yang lain kepanasan dan anak-anak kecil juga menangis kerana tidak tahan dengan situasi tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Super Air Jet, Ari Azhari memohon maaf kepada semua penumpang yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Katanya, kejadian tersebut berlaku ketika kapal terbang mencapai ketinggian lebih 9,000 meter di atas permukaan laut.

"Ketika kejadian, berlaku masalah teknikal yang melibatkan sistem tekanan udara di kabin tidak berfungsi sehingga juruterbang terpaksa menurunkan ketinggian pesawat.

"Gangguan ini menyebabkan suhu udara di kabin menjadi lebih tinggi dari yang sepatutnya," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ari lagi, pihaknya tidak boleh berkongsi maklumat lanjut mengenai masalah yang dialami oleh kapal terbang berkenaan dan akan menjalankan siasatan lanjut untuk mencari punca sebenar.

"Pihak kami akan menjalankan siasatan terperinci dan sekiranya pesawat ini dalam keadaan baik, ia akan dibenarkan untuk terbang semula,"katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram