Rangka silibus khas bukan cara terbaik tangani keciciran pendidikan Orang Asli


  • Massa
  • Rabu, 22 Mac 2023

Kadar keciciran murid dalam kalangan Orang Asli masih berada di tahap agak tinggi.

USAHA memperkenalkan silibus khas bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran murid dalam kalangan Orang Asli bukan kaedah terbaik untuk menangani isu keciciran murid komuniti tersebut.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berpandangan cara penyelesaian itu penyelesaian masalah berkenaan.

Katanya, dalam isu melibatkan keberkesanan pembelajaran, kaedah pengajaran yang diterapkan guru dilihat lebih penting khususnya melibatkan murid-murid di peringkat awal persekolahan.

"Takkan kita nak rendahkan lagi (silbius), nanti jadi tidak adil pula sedangkan bagi kanak-kanak, sebenarnya mereka sememangnya mudah dan cepat untuk belajar serta faham sesuatu perkara yang diajarkan.

"Tapi yang penting adalah kaedah pengajaran itu menarik minat murid. Sebagai contoh, untuk murid Orang Asli ini, bila mengajar perlu guna bahan dan contoh yang dekat dengan persekitaran mereka," katanya kepada Majoriti.

alimuddin

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

Kadar keciciran murid dalam kalangan Orang Asli ketika ini masih berada di tahap agak tinggi dengan KPM memaklumkan, sebanyak 42.29 peratus murid komuniti tersebut tidak menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan 5 bagi tahun 2021, menurun berbanding tahun 2020, pada kadar 58.62 peratus.

Dalam pada itu, beliau berkata, guru yang mengajar di sekolah kawasan Orang Asli sememangnya sudah menjalani latihan dan kursus tambahan sebelum dihantar untuk bertugas.

Katanya, kumpulan pendidik itu diperlukan untuk menguasai dan didedahkan kepada dialek atau bahasa komuniti serta budaya setempat sebelum dihantar bertugas.

Mengulas mengenai isu kadar keciciran murid Orang Asli yang masih tinggi, Alimuddin berkata, usaha menangani masalah tersebut tidak boleh dipertanggungjawabkan hanya kepada Kementerian Pendidikan sahaja.

Katanya, ini kerana penyelesaian itu memerlukan kerjasama daripada pelbagai kementerian dan agensi di bawah kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Orang Asli 10

Guru yang dihantar bertugas di sekolah Orang Asli menjalani latihan dan kursus tambahan sebagai persediaan.

"Campur tangan daripada pelbagai pihak ini termasuk NGO amat diperlukan dari segi untuk meningkatkan kesedaran atau sebarang bantuan diperlukan termasuk dari segi sokongan berbetnuk fizikal kepada komuniti Orang Asli.

"Contohnya, KKM boleh bantu dari segi misalnya macam mana cara untuk pastiukan murid ini dapat makanan berkhasiat. Jadi aspek-aspek dari segi kesihatan seperti ini pun penting untuk bantu kurangkan kadar keciciran pendidikan mereka," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, kesedaran mengenai kepentingan pendidikan khususnya dalam kalangan ibu bapa Orang Asli dilihat sudah lebih baik berbanding sebelum ini.

Beliau yang sudah mendekati komuniti tersebut melalui aktiviti kemasyarakatan sejak 2018 berkata, komuniti tersebut juga didapati sudah jauh lebih terbuka terhadap perkembangan dan kemajuan berlaku di dalam negara.

Marina

Marina (tengah) ketika mengunjungi komuniti Orang Asli yang baru sahaja mengalami banjir di Kampung Peta, di Mersing, Johor, baru-baru ini. — Facebook/MarinaIbrahim

"Kebanyakan Orang Asli yang saya jumpa akan cakap mereka pun nak maju, kalau orang lain nak pakai telefon pintar atau kereta, mereka pun nak benda yang sama. Maksudnya mereka dah bersedia nak majukan diri dia.

"Macam dekat Johor ini, ada sahaja anak Orang Asli yang dah pergi kerja di Singapura. Sebabnya mereka pun dah berjaya habiskan pendidikan mereka untuk dapat pekerjaan lebih baik.

"Dia dah tak macam dulu. Sebelum ini mungkin aktiviti ekonomi dia lebih tertumpu kepada ekonomi berdasarkan hasil hutan," katanya yang mempunyai hubungan rapat bersama komuniti Orang Asli daripada suku Jakun dan Seletar di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Marina berkata, masyarakat Orang Asli masih mengalami beberapa cabaran utama untuk mendapatkan pendidikan antaranya dalam isu akses ke sekolah dan juga persepsi negatif yang masih wujud dalam kalangan komuniti berhubung kepentingan pendidikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram