HASRAT seorang bapa untuk melihat anak perempuannya memakai baju raya sedondon di pagi Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak kesampaian, apabila anaknya maut akibat digilis treler dalam kemalangan yang berlaku di Kampung Telok Gong, Klang, Selangor pagi Rabu.
Muhammad Jamathir Ahmad Nordin, 32, berkata, mereka sekeluarga bersepakat untuk mengenakan pakaian raya berwarna hitam, pada tahun ini.
Lebih memilukan, pakaian tersebut baru tiba di rumahnya minggu ini dan anaknya Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir, 9, teruja dengan pakaian tersebut.
"Kami sekeluarga tahun ini sepakat mengenakan pakaian berwarna hitam untuk raya tahun ini.
"Bila beliau nampak baju itu, beliau rasa seronok,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada Rabu.
Sementara itu, Muhammad Jamathir memaklumkan, beliau terus bergegas dari tempat kerjanya di Pulau Indah ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan oleh isterinya tentang kemalangan yang menimpa anak keduanya itu.
Beliau berkata, jenazah Nurul Jannatun Assyifa akan dikebumikan di Telok Gong, Pelabuhan Klang setelah selesai bedah siasat dilaksanakan.
Sementara itu, beliau berkata, anak bongsunya Alif Zahfran Muhammad Jamathir, 7, yang turut terbabit dalam kemalangan tersebut mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan sedang dirawat di HTAR Klang.
"Saya sempat bersalaman dengan anak-anak sebelum pergi kerja pukul 6.30 pagi tadi. Saya tidak boleh berbuat apa, sudah ditakdirkan begitu, jadi saya reda,” katanya.
Media hari ini melaporkan seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut akibat digilis treler ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler yang melanggar motosikal dinaiki mangsa bersama seorang wanita berumur 54 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram