Murid perempuan maut digilis treler ketika dijemput pengasuh pulang dari sekolah di Pelabuhan Klang


  • 112
  • Rabu, 22 Mac 2023

Seorang murid perempuan dilaporkan maut selepas digilis sebuah treler ketika dijemput pulang dari sekolah oleh pengasuhnya. — Bernama

SEORANG murid perempuan berusia sembilan tahun maut akibat digilis treler ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor pagi Rabu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 11.25 pagi.

Beliau berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler yang melanggar motosikal dinaiki mangsa bersama seorang wanita berumur 54 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

"Wanita yang juga pengasuh kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang.

"Pengasuh dan kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian," katanya.

Morni berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala wanita dan kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram