Jangan pandang remeh serangan anxiety, sokongan keluarga paling utama


  • Sihat
  • Khamis, 23 Mac 2023

Anxiety merupakan perasaan bimbang yang melampau yang boleh membawa kepada berfikiran negatif dan cemas.

ANXIETY atau kebimbangan melampau merupakan sejenis penyakit mental yang boleh menyebabkan kesukaran untuk menjalani kehidupan secara normal. Anxiety boleh membuatkan seseorang itu mengalami resah yang keterlaluan.

Menurut Pakar Psikologi Kanak-Kanak Dr Aili Hanim Hashim, terdapat beberapa jenis anxiety iaitu gangguan keresahan perpisahan (separation anxiety), kebimbangan umum (generalised anxiety), fobia sosial (social phobia), fobia khusus (specific phobia), agorafobia (agoraphobia) dan gangguan panik (panic disorder).

anxiteu 2

Penyakit anxiety boleh menjadi punca utama stres dan tekanan mental.

Antara tanda fizikal anxiety adalah seperti berikut:

1) Berdebar-debar

Menurut Institut Kesihatan Mental Negara (NIMH), jantung yang berdenyut lebih laju daripada biasa merupakan salah satu tanda kebimbangan. Kajian menunjukkan bahawa individu yang sedang mengalami tekanan perasaan akan menghasilkan hormon adrenalin dan menyebabkan jantung mengepam dengan lebih pantas.

Selain itu, tindak balas pesakit akan diaktifkan ketika mereka rasa gelisah atau bimbang. Akibatnya, jantung pesakit akan berdegup dengan laju tanpa sebab.

2) Sering sesak nafas

Apabila bernafas, kita akan menyedut oksigen dan menghembus karbon dioksida. Namun, jika kita bernafas terlalu laju, tahap karbon dioksida dalam darah akan berkurang dan menyebabkan penghidap anxiety akan dilihat kepenatan umpama baru selesai berlari.

Latihan pernafasan amat penting untuk mereka yang menghidap masalah anxiety. Dengan pernafasan yang betul, pesakit boleh bernafas perlahan dan menggunakan diafragma untuk lebih bertenang.

3) Penat sepanjang masa

Selain itu, rasa penat yang berpanjangan adalah petanda anxiety. Perasaan bimbang dan gelisah sepanjang masa boleh menyebabkan badan kita sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Kebimbangan yang dialami juga boleh menyebabkan pesakit sukar untuk tidur dan boleh menyebabkan keletihan yang berlaku bertambah serius.

4) Kerap berpeluh

Disebabkan rasa gemuruh dan gelisah yang berpanjangan, pesakit akan kerap berpeluh lebih-lebih lagi di tapak tangan atau ketiak.

Simptom itu juga akan membuatkan penghidap anxiety runsing dan kurang keyakinan diri. Keadaan itu boleh berlarutan sehingga pesakit alami masalah bau badan yang teruk.

5) Menggigil

Selain itu, tangan atau jari akan mula menggigil tanpa sebab. Menurut NIMH, perkara itu merupakan salah satu kesan sampingan peningkatan hormon stres dalam badan.

Keadaan itu boleh mendatangkan bahaya, lebih-lebih lagi jika ia berlaku ketika anda sedang memandu.

Jika anda mempunyai anxiety, disarankan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan susulan, dengan bantuan pakar anda dapat belajar cara terbaik untuk mengatasi masalah kebimbangan melampau.

Tambahan pula, menerusi pengalaman Mira (bukan nama sebenar) yang pernah mengalami anxiety, perasan itu timbul apabila secara tiba-tiba diserang ketakutan yang melampau dan perkara itu membuatkan ia trauma serta dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Perkara itu berlaku ketika Mira yang juga pekerja syarikat perhotelan yang mana dia diarah untuk membuat satu tugasan melibatkan kerjasama antara pelanggan tapi ia tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Insiden itu juga menyebabkan Mira ditegur majikan secara berdepan di hadapan pekerja lain serta pelanggan itu. Bagi Mira kejadian itu amat menakutkan apabila semua mata memandang ke arahnya.

Selepas kejadian itu, Mira yang berusia 27 tahun itu meletakkan jawatan atas nasihat keluarganya. Hal ini kerana, anxiety bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh oleh pihak yang tidak mengetahui tentang penyakit itu.

Walaupun ia merupakan pengalaman pertama dalam hidup, Mira tetap bersyukur kerana boleh mengatasi anxiety itu dengan membuat pelbagai aktiviti seperti meluangkan masa bersama keluarga, rakan-rakan dan melakukan aktiviti yang diminati. Kini, Mira telah bekerja sendiri dalam membantu perniagaan keluarganya mengusahakan gerai makanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram