ACAP kali, haiwan pemangsa hanya akan mencari daging sebagai santapan utama bagi memenuhi perut kosong.
Namun, kali ini, seekor buaya sebaliknya menyasarkan peralatan dapur sebagai mangsa utamanya.
Menerusi video tular, reptilia itu pada mulanya mendekati peralatan berkelah milik orang awam di Afrika Selatan.
Anehnya, sebuah bekas kedap udara menjadi perhatian meskipun terdapat makanan mewah lain terhidang di hadapannya.
Entah apa yang berada di dalamnya, buaya itu kemudian dilihat menyambar bekas tersebut sebelum membawanya masuk ke dalam kawasan perairan.
Ketika tiba di dalam kawasan perairan tersebut, buaya lain yang siap sedia menunggu cuba berebut-rebut mendapatkan bekas berkenaan dan menganggapnya seolah-olah seperti bangkai kuda belang.
Kejadian tersebut berlaku ketika perkelahan dua individu di kawasan Taman Negara Greater Kruger.
Sementara itu, rakaman video tersebut sudah mendapat lebih 160,000 tontonan di media sosial setakat ini.
Difahamkan, buaya Nile itu merupakan reptilia kedua terbesar di dunia, yang mampu membesar sehingga lebih daripada 20 kaki panjang (6 meter) dan mempunyai berat 2,000 paun (907 kilogram).
Meskipun saiznya lebih kecil daripada buaya air masin, pemangsa yang terkenal ini bertanggungjawab atas serangan ke atas manusia dan membunuh kira-kira 300 orang setahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram