PENAHANAN beberapa individu termasuk pegawai dan anggota polis selepas disyaki terlibat dalam sebuah pertubuhan haram di sekitar Dungun, Terengganu pada Jumaat lepas mendapat kecaman ramai.
Ibarat gunting dalam lipatan. Demikian pepatah yang sesuai digambarkan kepada anggota dan pegawai pasukan keselamatan terbabit, apabila mereka yang sepatutnya menjadi harapan menjaga keamanan negara ini, sebaliknya mengkhianati kepercayaan rakyat.
Menjengah ke ruangan komen media sosial, rata-rata netizen berang dan kesal dengan perlakuan anggota pihak berkuasa berkenaan, seterusnya menggesa tindakan tegas diambil ke atas mereka.
Ia penting bagi memberi pengajaran kepada angggota lain supaya bersikap amanah dan telus ketika menjalankan tugas.
Arumugam Rajakopal menulis: "Kalau ada bukti cukup buang kerja sahaja. Mereka sudah tidak berminat untuk menjadi ahli PDRM."
Berpendapat sama, Taktarau Bilalang berkata: "Buang kerja je senang. Jangan pula pandai-pandai hantar pergi Sabah Sarawak. Ingat Sabah Sarawak recycle ke? Timbang kilo pun tak ada harga. Buang dekat Sungai Rajang, biar bujang senang (buaya) makan."
Tambah NynAbdullah Paksu Nan: "Harapkan pagar, pagar makan padi. Sudah didapati bersalah terus buang jangan disimpan lagi rosakkan imej polis aje."
Zaharull Hamzah Al Haj berkata: "Kerajaan Perpaduan sekarang kena ubah sistem simpan penjawat awam buat salah pecah amanah ni. Buang terus kerja dan jangan simpan. Berjuta-juta lagi orang yang pertama kali mohon kerja kerajaan boleh ganti tempat mereka yang buat salah."
Terdahulu, sumber menyatakan bahawa tangkapan suspek termasuk pegawai dan anggota polis yang terlibat pertubuhan haram itu, dilakukan menerusi Op Selendang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dengan kerjasama PDRM Terengganu.
Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Difahamkan, pertubuhan haram itu mulai aktif di daerah Dungun mulai 2021.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan sidang media mengenai perkara itu akan diadakan oleh pihak Bukit Aman setelah siasatan selesai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram