[VIDEO] Aktiviti memancing bertukar tragedi di Semporna, kawan lihat sendiri rakan dibaham buaya


  • 112
  • Selasa, 31 Jan 2023

Operasi SAR yang dikongsikan pihak PDRM Semporna pada Isnin, sehingga kini mayat mangsa belum ditemui. — Facebook/PDRM

LAPAN sekawan berdepan dengan detik mengerikan selepas salah seorang daripada mereka dibaham seekor buaya ketika memancing di kawasan muara sungai di Ladang Pegagau, Semporna, Sabah pada Ahad lalu.

Kejadian menakutkan itu sempat dirakam oleh salah seorang rakan mangsa yang berada di lokasi kejadian.

Mangsa yang merupakan seorang warga asing, 36 tahun dipercayai cuba melepaskan tali pancing miliknya yang tersangkut sebelum mangsa tiba-tiba diserang seekor buaya.

Dalam video yang dimuat naik semula di halaman Facebook The Brotherhood Of Sabah Sarawak memaparkan reptilia ganas berkenaan menarik mangsa masuk ke dalam air.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang menyatakan seorang pekerja ladang dibaham buaya pada pukul 3.30 petang Ahad.

"Mangsa bersama tujuh rakannya memancing di pinggir kawasan sungai, bagaimanapun tali pancingnya tersangkut di dalam air.

"Mangsa kemudian bertindak mengambil sebatang kayu panjang bagi melepaskan tali pancing berkenaan namun tiba-tiba seekor buaya muncul dan membaham kedua kakinya sebelum dibawa masuk ke dalam air," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada pukul 4 petang hari yang sama (Isnin).

"SAR giat dilakukan oleh pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan dibantu pekerja ladang serta penduduk kampung.

"Mayat mangsa ditemui bersama buaya namun ditarik semula ke dalam sungai setelah pasukan SAR menghampiri mangsa,” katanya.

Farhan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa menjalankan aktiviti di sungai atau laut dan menjauhi kawasan sungai yang menjadi habitat kepada buaya.

Setakat berita ini ditulis, mayat mangsa masih belum dijumpai oleh pasukan penyelamat yang memasuki hari ketiga pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram