[VIDEO] Buaya 'hantar pulang' jasad budak lemas


  • Benua
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Tangkap layar seekor buaya membawa mayat seorang kanak-kanak lelaki ke tebing sungai.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dikenali sebagai Ziyad dilaporkan mati lemas ketika bermain di Sungai Mahakam, Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur, Indonesia pada Rabu.

Namun, apa yang mencuri perhatian adalah, mayat kanak-kanak itu dihantar pulang oleh seekor buaya yang membawanya sehingga ke tebing sungai selepas dua hari menghilangkan diri.

Pasukan Operasi Menyelamat, (SAR) mengesahkan insiden itu apabila buaya tersebut dilihat membawa mayat kanak-kanak terbabit dengan menggigit pada bahagian badan belakang mangsa.

Ketua Balai Pencarian dan Bantuan Basarnas Kalimantan Timur, Melkianus Kotta berkata, berdasarkan maklumat diterima, buaya itu membawa mangsa dengan menggigit punggungnya sehingga ke tebing sungai.

"Individu pertama yang menyedari kejadian itu adalah dari pihak syarikat keselamatan di sekitar lokasi berkenaan.

"Ketika itu, pihak terbabit terlihat akan pergerakan seekor buaya yang sedang menuju ke tebing sungai bersama mayat.

"Dari tengah sungai, buaya berkenaan berenang kira-kira hampir 200 meter untuk tiba di bahagian tebing," katanya.

Sebaik tiba di permukaan darat, buaya berkenaan dilihat berusaha sebanyak tiga kali untuk melepaskan mangsa di pinggir sungai.

"Buaya itu sempat tenggelam sebelum melepaskan jasad mangsa dalam percubaannya kali yang ketiga, " jelasnya.

Sebaik buaya terbabit mula menjauh, keluarga terkorban kemudiannya terus menghampiri jasad Ziyad dengan menaiki sebuah bot.

Hasil siasatan daripada pihak keluarga mendapati, pihaknya percaya bahawa mangsa akan ditemui satu hari nanti namun tidak menyangka dengan cara seperti itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram