[VIDEO] Ratusan orang terperangkap berjam-jam dilanda bencana ribut pasir


  • Benua
  • Selasa, 07 Mac 2023

Tangkap layar video tular memaparkan kejadian ketika ribut pasir melanda di barat laut China.

BENCANA alam sekitar dilihat tiada kesudahan dan tidak berhenti melanda setiap negara.

Tidak kira gempa bumi, tsunami, ribut dan taufan serta banjir setiap tahun pasti akan ada bencana yang memberi ancaman nyawa kepada penduduk bumi.

Terbaharu, video ribut pasir yang melanda barat laut China kini tular di media sosial sejak Selasa meskipun ia sebenarnya berlaku pada Julai 2022.

Video berdurasi 12 saat itu memaparkan, ribut pasir tebal tersebut bergerak ke arah orang awam di sebuah lebuh raya.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian memberhentikan kereta masing-masing dan sempat merakam detik-detik mencemaskan itu.

Mereka bergegas meluru ke arah kenderaan masing-masing untuk menyelamatkan diri sebaik sahaja menyedari ribut itu bergerak laju.

Menurut laporan media antarabangsa, ribut pasir itu berlaku di Wilayah Autonomi Haixi Mongol dan Tibet di wilayah Qinghai pada Julai 2022.

Video tersebut sudah mendapat tontonan lebih daripada tiga juta kali setakat ini.

Sementara itu, NBC News melaporkan, individu yang merakam video berkenaan memandu hampir 100 kilometer (km) bagi mengelakkan ribut terbabit.

Selain itu, ribut tersebut kemudian bergerak di kawasan perumahan, menutupi pemandangan bangunan dan menghalang cahaya matahari.

Ratusan orang dilapor terperangkap selama berjam-jam sebelum ribut reda. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram