[VIDEO] Tiada angin dan ribut, perempuan psiko tolak budak ke landasan kereta api


  • Benua
  • Isnin, 02 Jan 2023

Tangkap layar CCTV menunjukkan seorang budak perempuan ditolak sehingga jatuh ke landasan kereta api. — Agensi

SEORANG wanita ditahan polis selepas dia didapati dengan sengaja menolak jatuh seorang kanak-kanak perempuan ke landasan kereta api.

Perbuatan tidak berhati perut itu berlaku di platform Portland's Gateway Transit Center MAX dekat Oregon, Amerika Syarikat pada Rabu lalu.

Kejadian itu dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Selepas menolak kanak-kanak malang terbabit, suspek dilihat duduk semula di bangkunya.

Sementara itu, Peguam Daerah Multnomah County, Mike Schmidt berkata, suspek Brianna Lace Workman, 32 tahun, duduk di belakang mangsa dan ibu kanak-kanak perempuan terbabit sebelum kejadian.

"Brianna kemudiannya secara tiba-tiba bangun dari tempat duduk dan terus menolak mangsa ke landasan kereta api berkenaan.

"Mangsa berusia tiga tahun jatuh tersemban dan kepalanya terhentak pada besi landasan kereta api.

"Mangsa diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian. Namun begitu, tiada kecederaan serius yang dilaporkan selain daripada sakit kepala yang teruk," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Schmidt, Brianna akan didakwa atas percubaan melakukan serangan, mengganggu pengangkutan awam, berkelakuan tidak senonoh dan membahayakan orang lain.

Schmidt juga menjelaskan pada waktu kejadian, kanak-kanak itu tidak melakukan kesalahan atau provokasi untuk mencetuskan Brianna bertindak sedemikian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram