[VIDEO] Malang tak berbau, van putih tiba-tiba kena hempap pokok di Genting


  • Tular
  • Rabu, 14 Dis 2022

Sebuah van putih menjadi mangsa keadaan apabila sebatang pokok jatuh dan menghempap kenderaan terbabit di Jalan Genting pada Selasa.

TULAR satu video kemalangan melibatkan sebuah van berwarna putih yang dihempap pokok dipercayai berlaku di Jalan Genting, Pahang pada Selasa.

Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang berada di kawasan terbabit.

Menerusi rakaman video itu, kelihatan cuaca di kawasan terbabit hujan ribut sehingga menyebabkan beberapa pokok bertiup kencang.

Ketika kejadian, kelihatan pemandu van tersebut sedang memandu menaiki bukit sebelum sebatang pokok di laluan bertentangan jatuh lalu menghempap kenderaan tersebut.

Berdasarkan video terbabit, pada mulanya pemandu van itu sempat mengelak sebelum sebatang pokok jatuh dipercayai mengenai cermin hadapan kenderaan tersebut.

Manakala sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan sempat mengelak daripada menjadi mangsa kejadian apabila pokok itu nyaris menghempapnya selepas kereta terbabit melepasi kawasan kejadian.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai berharap pemandu itu berada dalam keadaan yang selamat.

"Musim-musim hujan ini, kalau tiada apa yang mustahak jangan naik Genting," ujar Andrew Ho.

"Tolong berhati-hati ketika memandu dalam musim-musim hujan ini," jelas Justine Teh.

"Bahaya betul pandu dalam hujan ini, harap pemandu van itu berada dalam keadaan yang baik," kata Tion Teng.

"Kalau saya jadi awak, saya akan pandu laju dan potong MPV sebab dah nampak tanah runtuh itu berlaku," luah Julius Winston.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan keadaan mangsa sama ada mengalami kecederaan parah atau tidak.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram