CUACA hujan lebat yang melanda pada Rabu malam mengakibatkan beberapa kawasan di Johor dinaiki air banjir khususnya di daerah Johor Bharu.
Lebih mencuri perhatian, sebuah pasar raya terkemuka di Tampoi, Johor Bahru, dilaporkan mengalami kerosakan teruk apabila bumbung sebuah taman permainan di situ runtuh akibat ribut kuat yang melanda.
Insiden itu sekali gus mengakibatkan beberapa pengunjung melalui detik cemas apabila terpaksa dibantu keluar dan diselamatkan oleh petugas di lokasi kejadian.
Difahamkan, taman permainan tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung susulan binaan itu runtuh dan bocor dimasuki air.
Dikongsikan di laman TikTok, rakaman tular itu menerima lebih 500,000 jumlah tontonan setakat ini.
Berdasarkan video tersebut, beberapa pengunjung di pasar raya berkenaan dilihat cemas menyelamatkan diri dari insiden runtuhan terbabit sambil memikul anak masing-masing.
Kejadian itu juga menyebabkan bekalan tenaga elektrik di situ terputus dan situasi bertukar kecoh apabila beberapa mangsa menjerit ketakutan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan kerisauan berhubung insiden terbabit.
"Ya ALLAH bahayanya, dekat tempat permainan kanak-kanak pula, semoga semua yang terlibat terselamat dan dilindungi Tuhan," kata Pisces912.
"Kalau berlaku kejadian macam ini, ibu bapa kena peka dengan keselamatan anak-anak, pegang mereka dengan erat sebab risau dalam keadaan kelam kabut ada yang ambil kesempatan menculik," jelas Oshin.
"Semalam memang kawasan Tampoi, Batu 5 Skudai teruk dilanda hujan ribut, tempat yang tidak pernah terjejas tapi semalam diuji Tuhan," tambah Umikalthum813.
Namun, tiada sebarang maklumat lanjut dilaporkan berhubung situasi dan keadaan mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
Menurut jurucakap bahagian operasi pasar raya berkenaan, belum ada sebarang kenyataan yang boleh dikongsikan berhubung insiden tersebut setakat ini.
Majoriti sedang berusaha mendapatkan maklumat terperinci daripada ibu pejabat pasar raya tersebut berhubung insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram