Gempa kedua gegar Turki dan Syria, lebih 1,400 terkorban


  • Benua
  • Isnin, 06 Feb 2023

Keadaan salah sebuah bangunan di Kahramanmaras selepas gempa bumi berlaku pada Isnin. — Agensi

BELUM sampai 12 jam, gempa bumi kedua berukuran 7.5 magnitud melanda Turkiye yang turut meragut ribuan nyawa warga penduduk tempatan dan penduduk Syria.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi kedua itu dilaporkan berlaku pada pukul 1.32 petang (waktu tempatan) di bahagian wilayah Elbistan, Kahramanmaras.

Screenshot 2023-02-06 115649

Antara bangunan yang musnah akibat bencana gempa bumi. — Agensi

Ini sekali gus menyaksikan jumlah kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria pada Isnin melepasi sekurang-kurangnya 1,400 orang, setakat ini.

Angka rasmi dari Turkiye melaporkan, seramai 912 orang terkorban, 5,383 cedera manakala 2,818 bangunan runtuh.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Syria melaporkan, lebih 326 orang terbunuh manakala 1,042 lagi cedera.

Sebagai tambahan kepada angka tersebut, perkhidmatan menyelamat di barat laut Syria di kawasan yang tidak dikawal oleh kerajaan meletakkan angka kematian seramai 221 orang, sekali gus menyaksikan jumlah seramai 1,459 orang disahkan meninggal dunia.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menggambarkan peristiwa itu sebagai "bencana terbesar" sejak gempa bumi Erzincan 1939.

Pada masa sama, Kesatuan Eropah (EU) sudah menggerakkan lebih daripada 10 pasukan mencari dan menyelamat untuk membantu Turkiye.

"Pasukan mencari dan menyelamat sudah digerakkan segera dari Bulgaria, Croatia, Republik Czech, Perancis, Greece, Hungary, Malta, Belanda, Poland dan Romania,” kata Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan.

Selain itu, Itali, Sepanyol dan Slovakia turut mengerahkan pasukan penyelamat mereka ke Turkiye.

EU berkata, ia bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas di Syria, namun masih belum menerima permintaan daripada negara itu untuk mengaktifkan mekanisme perlindungan awam, yang menyelaras bantuan daripada EU dan negara Eropah lain.

Sebelum ini, gempa bumi kali pertama dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye, Kahramanmaras awal Isnin.

AFAD memaklumkan, gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter itu berlaku pada pukul 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik.

Gegaran turut dirasai di wilayah lain, termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lebanon dan Syria.

Tiada rakyat Malaysia terlibat

Dalam pada itu, skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC tiba di Turkiye pada Sabtu untuk menjalani perlawanan pramusim di negara itu.

Bencana tersebut dijangka tidak menjejaskan perancangan Nafuzi Zain untuk mempersiapkan skuad Sang Kenari dalam menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Jelajah pramusim 2023 itu menyaksikan pasukan itu akan bertemu empat kelab yang bermain di Liga Perdana Uzbekistan, Liga Perdana Kazakhstan dan Liga Perdana Ukraine.

Pada masa sama, Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan, tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi itu setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram