[VIDEO] Rumah bergegar ketika tidur, 50 cedera, kritikal angkara gempa bumi selepas 2 dekad di Turkiye


  • Benua
  • Khamis, 24 Nov 2022

Struktur bangunan yang runtuh dirakam di kawasan Duzce, Turkiye pada Rabu. — Agensi

SATU gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan barat laut Turkiye awal pagi Rabu dan mencederakan sekurang-kurangnya 50 orang, lapor berita BBC pada Rabu.

Gempa bumi itu melanda kira-kira 170 kilometer (km) di timur Istanbul, bandar terbesar Turkiye, yang mana gegarannya dirasai dengan kuat.

Pihak berkuasa Turkiye berkata, gempa bumi itu direkodkan berukuran 5.9 pada skala Richter, lebih rendah daripada skala 6.1 yang dikeluarkan oleh Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pusat gempa itu terletak di daerah Golyaka, wilayah Duzce dan turut menggegarkan bandar-bandar lain yang berdekatan.

“Kami dikejutkan dengan bunyi bising dan gegaran yang kuat ketika tidur.

"Kami keluar dari rumah dalam keadaan panik dan perlu menunggu di luar,” kata salah seorang penduduk Duzce, Fatma Colak.

Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu yang melawat Golkaya berkata, seorang penduduk cedera parah selepas melompat dari balkoni kerana panik.

Beliau memaklumkan bahawa 70 gegeran susulan telah direkodkan selepas itu.

Imej kejadian memaparkan orang ramai yang berselimut dilihat berada di luar rumah pada awal pagi.

Sebilangan mereka menghampar selimut di lantai dan menyalakan api untuk menghangatkan badan.

Soylu berkata, selain beberapa bangsal yang musnah, tiada laporan kerosakan teruk atau bangunan runtuh.

Menurut Agensi Bencana Turkiye, AFAD, bekalan elektrik diputuskan secara terkawal di wilayah Duzce supaya penduduk tidak panik.

Ini merupakan gempa bumi terburuk melanda Turkiye selepas kali terakhir pada 1999. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Gempa Bumi, Turkiye, Golyaka, Duzce, 50 Mangsa